Tertangguh lama, Projek Air Perak – Pulau Pinang akhirnya lulus atas semangat Perpaduan – Ketua Menteri

Admin
c2c4cfcd 076f 4ecb 8cd6 7f91e039f22f KETUA Menteri dalam ceramah di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap pada menjelang tengah malam tadi (1 Julai 2024) antara lain menjelaskan sekali lagi mengenai cadangan memperbaiki proses penyampaian bekalan air terawat di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

SUNGAI BAKAP – Sejak tahun 2009 lagi, Kerajaan Negeri berusaha mendapatkan sumber air mentah alternatif bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan rakyat di Pulau Pinang terutamanya di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Selama tempoh itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya sempat berunding dengan dua Menteri Besar Perak untuk mendapatkan kebenaran mengabstrak air mentah dari lembangan Sungai Kerian, Perak.

Selama tempoh itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya pernah meminta bantuan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, namun Menteri Air dan Sumber Asli pada waktu itu seakan-akan tidak mengambil langkah proaktif dalam proses perundingan yang melibatkan kedua-dua negeri Perak dan Pulau Pinang.

“Untuk meningkatkan kapasiti bekalan air air, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) tidak kisah muka tebal dengan pergi berjumpa dengan Tun Ibrahim iaitu Menteri Air pada waktu itu, tetapi tidak ada komitmen.

“Setiap kali Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) melawat Pulau Pinang, saya akan mengambil kesempatan membangkitkan keperluan isu air dari negeri Perak ke Pulau Pinang.

“Maka, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim pun mengadap Tuanku Sultan (Perak), Menteri Besar dan mungkin ada bincang dengan Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir sendiri untuk lihat bagaimana lebihan air dari Sungai Perak itu disalurkan ke negeri Pulau Pinang.

“Apabila masuk soal rundingan Projek Air Perak – Pulau Pinang dan harga, tentunya atas semangat Perpaduan, maka kelulusan Projek Air Perak – Pulau Pinang diluluskan atas semangat (Kerajaan) Perpaduan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam ceramah berkaitan di Taman Seruling Emas di sini pada 1 Julai 2024.

Sehubungan itu, beliau percaya isu tekanan air rendah di daerah SPS termasuk Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap lebih mudah ditangani hanya selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan peringkat Persekutuan dan di kedua-dua negeri Pulau Pinang dan Perak.

Bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap yang berbaki empat hari lagi, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata pihaknya percaya bahawa agenda pembangunan lokaliti di Sungai Bakap mampu direalisasikan sekiranya calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin diberi peluang menjadi ADUN baharu pada 6 Julai nanti.

Penjelasan Kon Yeow itu sekali gus menyerlahkan wajah sebenar kempen pembangkang Pulau Pinang yang konon-konon begitu komited menangani isu tekanan air rendah di KADUN Sungai Bakap ketika ini.

Selain Zambry, turut berucap, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dato’ Seri Dr. Muhajid Yusof Rawa, dan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS