Terus berikan kerjasama bagi putuskan rantaian COVID-19

Admin

PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru kepada seluruh masyarakat di negeri ini agar terus memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Beliau berkata, adalah penting bagi orang awam untuk mengekalkan jarak sosial yang selamat dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri sebagai usaha dalam membantu kerajaan untuk menghentikan penularan virus berkenaan.

Chow Kon Yoew menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada salah seorang peniaga di Pasar Awam Bukit Mertajam.

“PKP mungkin dikaji dari semasa ke semasa tetapi amalan mengekalkan jarak sosial perlu dikekalkan sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berwajib mengeluarkan arahan terbaru, kelak.

“Justeru, saya menyeru kepada rakyat Pulau Pinang agar terus memberikan kerjasama mematuhi PKP dengan mengamalkan jarak sosial, sentiasa menjaga kebersihan serta memakai penutup muka apabila berada di tempat-tempat awam sebagai langkah menjaga keselamatan diri.

“Kita semua perlu terus berusaha sehingga kita berjaya melawan virus ini,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada peniaga serta pengunjung di Pasar Awam Bukit Mertajam dekat sini sebentar tadi.

Pengunjung penunjukkan pelitup muka yang diterima.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong serta Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa langkah-langkah keselamatan dalam tempoh PKP fasa ketiga adalah perlu diperketatkan lagi bagi mencapai hasil yang lebih memberangsangkan.

“Kejayaan yang dicapai pada PKP fasa tiga adalah hasil daripada usaha-usaha yang dilakukan sebelum ini iaitu pada PKP fasa satu dan dua.

“Oleh itu, masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa PKP akan ditarik semula selepas fasa tiga ini, dan kita masih menunggu keputusan daripada KKM yang mana saya percaya mereka sentiasa membuat pemantauan rapi berkaitan isu ini,” ujarnya.

Difahamkan, sebanyak 5,000 unit pelitup muka dan 200 botol pensanitasi tangan diedarkan kepada peniaga serta pengunjung di pasar awam berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD