BUKIT TENGAH – Rakyat Pulau Pinang diseru supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mempertahankan status Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negera (PPN) yang bermula hari ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa walaupun Pulau Pinang telah beralih ke Fasa 2, namun masih banyak usaha perlu dilakukan khususnya dalam memastikan penurunan kes serta mencapai nilai ambang ditetapkan iaitu 109 kes.
“Peralihan ke Fasa 2 adalah satu permulaan dan bukannya kejayaan kerana masih banyak cabaran yang perlu kita hadapi untuk mempertahankan kedudukan ini.
“Walau bagaimanapun, keadaan ini menunjukkan berlakunya penambahbaikan daripada segi keadaan kesihatan manakala bagi sektor ekonomi dan sosial pula, peralihan ini bermakna beberapa kelonggaran telahpun diberikan.
“Justeru, rakyat Pulau Pinang dan semua petugas barisan hadapan perlu mempertahankan kedudukan Fasa 2 ini dan seterusnya beralih ke Fasa 3,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Nagasari di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dato’ Dr. Asmayani Khalib; Ketua Polis Pulau Pinang Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain; Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad serta Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat.
Selain itu kata Kon Yeow, Pulau Pinang juga perlu mencapai nilai ambang ketiga iaitu kadar vaksinasi sebanyak 40 peratus bagi dos kedua daripada jumlah populasi di negeri ini untuk membolehkan peralihan ke Fasa 3.
“Namun begitu, saya percaya pasukan Penang Lawan Covid-19 akan berusaha dan kita berharap rakyat juga dapat bersama-sama untuk mencapai nilai-nilai ambang ditetapkan ini,” serunya.
Mengulas mengenai keadaan di Taman Nagasari PKPD, beliau memaklumkan bahawa semua tindakan sewajarnya telah diambil bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 di kawasan berkaitan.
“Kita dapati bahawa kawasan PKPD ini ada 2,500 bukan warganegara yang bekerja di kilang tempatan di sini, dan ini menimbulkan pelbagai cabaran seperti komunikasi serta pengagihan bantuan tetapi keadaan masih terkawal.
“Oleh itu, ujian saringan secara besar-besaran akan dilakukan hari ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan di sini,” ulasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily menjelaskan bahawa sebanyak 15 kes positif telah dikesan selepas ujian saringan dilakukan ke atas 144 orang daripada 2,711 penduduk di kawasan berkenaan hari ini.
“Sebanyak 15 kes yang dikesan adalah melalui ujian saringan yang dilakukan selepas pelaksanaan PKPD pada 5 Julai lalu manakala kes-kes yang dilaporkan sebelum ini adalah 251 kes,” jelasnya.
Tambah beliau, kira-kira 170 penduduk Taman Nagasari yang didakwa melarikan diri sebelum pelaksanaaan PKPD telahpun kembali ke kawasan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, kita akan terus melakukan pemantauan untuk memastikan status mereka ini.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menyalurkan bantuan berterusan kepada petugas barisan hadapan dan penduduk di sini,” ujarnya.
Sebagai rekod, terdapat 940 premis membabitkan 244 unit industri, 66 (perdagangan), 295 (rumah teres) dan 335 (rumah pangsa) di kawasan Taman Nagasari yang diletakkan bawah PKPD mulai 4 Julai lalu.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
GAMBAR : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD