Terus dekati rakyat pastikan suara peringkat akar umbi senantiasa didengar – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (kanan) menyampaikan pek bakul makanan kepada salah seorang penerima terpilih sambil disaksikan oleh Lay Hock Peng (tengah) dalam Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor di sini pada lewat petang tadi.

PENAGA – Ribuan komuniti lokal yang terdiri daripada pelbagai kaum menyertai Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor di Pusat Belia Penaga, Pengkalan Bongor pada 4 Julai 2022.

LAY Hock Peng

Semasa berucap, Lay Hock Peng selaku Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana turut meluangkan masa bagi menyertai acara lokal tersebut di sini.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Permatang Tiga Ringgit, Husin Mat Isa; Pengerusi MPKK Lahar Kepar, Ahmad Firdaus Ellias dan Pengerusi MPKK Guar Kepah, Mohd. Yusri Mustafa kerana menjadi penganjur bersama dalam menjayakan majlis pada hari ini.

“Program ini tidak akan berjaya sekiranya hanya satu pihak sahaja yang melaksanakannya.

“Jadi, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama MPKK sekitar kawasan ini,” jelasnya di sini.

KETUA Menteri

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pegawai Penyelaras Pejabat Ketua Menteri bersama-sama beberapa rakan strategik lain akan terus berusaha mendekati rakyat bagi memastikan suara peringkat akar umbi senantiasa didengar.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya memuji usaha berterusan daripada pasukan ini (Pejabat Pegawai Penyelaras Pejabat Ketua Menteri) yang tidak penah gagal menggunakan platform yang tersedia untuk meneruskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

RIBUAN hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam majlis keraian pada malam tadi sekali gus mencerminkan semangat muhibah peringkat lokal.

Di samping itu, Kon Yeow turut memuji ‘pasukan’ Hock Peng yang berjaya menyediakan 750 set bakul makanan seperti daging, beras pulut dan serbuk kopi untuk diagihkan kepada golongan terpilih sempena menyambut Aidiladha yang dijadualkan pada 10 Julai 2022.

“Kepimpinan Kerajaan Negeri bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak dalam usaha meneruskan pembangunan sosioekonomi dan kebajikan demi memberi manfaat kepada rakyat,” ulasnya lanjut.

SERENTAK pada majlis sama, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada wakil sebuah keluarga terpilih di Penaga.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menzahirkan kegusaran mengenai kos sara hidup rakyat bawahan yang dijangka kian meningkat ekoran langkah pemotongan subsidi oleh Kerajaan Persekutuan.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi merupakan antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis keraian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR