GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff malam ini menyertai Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2018 dekat Fort Cornwallis di sini.
Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap ‘Cahaya Deepavali’ terus menyinari komuniti beragama Hindu di negeri ini.
“Saya juga menyeru masyarakat berbilang bangsa di Pulau Pinang akan terus mengeratkan silaturahim dan persefahaman sesama kita, demi menjamin keamanan yang telah kita kecapi sekian lama,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan pada 23 November 2018.
Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya menyedari kekangan kewangan yang melanda Kerajaan Pusat, namun Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk mendapatkan peruntukan Persekutuan sebaik mungkin.
“Buat masa ini, Kerajaan Negeri akan mengamalkan corak pentadbiran berdikari di samping terus menekankan pelaksanaan projek-projek pembangunan melalui konsep 4P iaitu ‘Public, Private, People & Profesional’,” jelasnya sambil menyatakan komitmen untuk menunaikan 68 Janji dalam Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang sempena pilihan raya umum lalu.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatakan bahawa SPICE, The Habitat, Perpustakaan Digital Pulau Pinang, Pusat Pembelajaran Karpal Singh, @CAT Center, Kluster Sains Pulau Pinang, Tech Dome Pulau Pinang merupakan antara contoh projek pembangunan yang berjaya melalui model PPPP.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, penubuhan Muzium Warisan India dekat Kompleks Pejabat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang di Jalan Mecalister, kini kian mendapat sambutan pengunjung tempatan serta pelancong asing.
Tambah beliau, muzium pertama seumpama itu di tanah air telah menambah satu lagi koleksi produk pelancongan yang menarik dekat Pulau Pinang.
Beberapa Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, beberapa Konsulat, Ketua-ketua Jabatan antara tetamu kehormat utama yang hadir pada majlis keraian itu.
Nyanyian lagu pelbagai genre dan tarian kebudayaan majmuk antara acara menarik pada majlis keraian berkaitan, selain tetamu dihidangkan dengan juadah-juadah enak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG