GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan kadar efektif di Empangan Air Itam kekal pada paras 30.3 peratus dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sejak Februari 2024, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telahpun mengambil langkah di bawah AIDAP 2024 dengan mengurangkan pengeluaran air mentah harian dari Empangan Air Itam.
Selain itu, PBAPP juga mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam untuk menggantikan kekurangan dalam pelepasan harian dari Empangan Air Itam.
“PBAPP juga ada menyatakan melalui kenyataan sekiranya air dari Sungai Muda tidak mencukupi (untuk diabstrak) maka air dari Empangan Mengkuang akan dilepaskan (sebagai sumber sokongan), sesuai dengan fungsinya sebagai empangan strategik,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP menyatakan bahawa pihaknya akan terus memantau paras di Sungai Muda dan Empangan Air Itam bagi memastikan bekalan air yang mencukupi kepada pengguna.
Sebagai rekod, AIDAP 2024 mula dilaksanakan pada 5 Februari lalu apabila kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada paras 32.8 peratus.
Terdahulu, PBAPP melalui kenyataan media bertarikh 18 April 2024 memaklumkan bahawa pihaknya kini bersiap sedia untuk melepaskan rizab kemarau dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) sekiranya air mentah tidak dapat diabstrakkan secukupnya dari Sungai Muda.
Bagi memastikan pengeluaran optimum air terawat dari LRA Sungai Dua, PBAPP kini mengabstrak kira-kira 1,200 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Muda.
Manakala kapasiti pelepasan maksimum dari EMD adalah 600 JLH atau kira-kira 50 peratus yang diperlukan oleh LRA Sungai Dua untuk beroperasi secara optimum.
“Oleh itu, selagi PBAPP dapat mengabstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH dari EMD, sepatutnya tiada gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang,” sebagai memetik kenyataan tersebut.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING