BATU MAUNG – Masyarakat diharap terus prihatin dan memberikan sokongan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) kerana golongan ini juga mempunyai potensi serta dinamika tersendiri.
Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang yang juga isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee berkata, masyarakat kebanyakan perlu terus menyokong kelompok istimewa ini dengan memberikan ruang dan peluang latihan serta pekerjaan yang bersesuaian.
“Golongan OKU juga mempunyai potensi serta kapasiti untuk berjaya dan berjasa kepada masyarakat serta negara sekiranya mereka diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya.
“Bahkan bukan sahaja masyarakat, tetapi kanak-kanak sedari umur muda harus dididik untuk menerima dan menghormati kelompok istimewa ini,” ujarnya sambil memuji para pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Tiram yang begitu berdedikasi dan bersabar membimbing insan istimewa berkenaan.
Terdahulu pada 3 April lalu Lean Kee, ahli-ahli pertubuhan tersebut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain mengadakan lawatan ke pusat berkenaan bersempena Hari Autism Sedunia yang disambut pada 2 April 2021.
Turut serta Muhammad Ramil Mamma (Penyelaras OKU dan Warga Emas Daerah Barat Daya, DBD) dan Ali Yusoff (Pengerusi PPDK Sungai Tiram).
Sempena lawatan tersebut, Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang turut menyerahkan duit raya kepada para pelatih serta menyumbang sebanyak RM1,000 kepada pusat berkenaan sebagai penghargaan kepada organisasi terbabit.
Dalam pada itu, Abdul Halim ketika berucap turut menyatakan nada sama bahawa golongan OKU perlu dilengkapkan dengan kemahiran bagi membolehkan golongan istimewa ini lebih berdikari.
Beliau menegaskan bahawa dengan bimbingan yang tepat dan latihan sewajarnya akan membolehkan golongan OKU memasuki bidang pekerjaan sekali gus menjana pendapatan sendiri.
“Kita tidak mahu golongan OKU duduk sahaja di rumah, sebaliknya dengan adanya Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) seperti ini akan membantu insan-insan istimewa ini memperoleh ilmu dan kemahiran daripada tenaga pengajar terlatih.
“Oleh itu, pusat seperti PPDK Sungai Tiram ini memainkan peranan penting dalam memberikan kehidupan lebih baik kepada OKU melalui program yang dijalankan,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : M. TANUSHALINI