Teruskan Butterworth Bike, cetus kesedaran gaya hidup sihat

BUTTERWORTH – Penganjuran julung kali Butterworth Bike 2017 di Padang Dataran Pemuda Merdeka dekat sini baru-baru ini, ternyata menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud ketika ditemui berkata, seramai 380 peserta mengambil bahagian dalam kayuhan sejauh 40.2 kilometer (km) berkaitan.

“Ini merupakan penganjuran pertama kali, dan saya amat berharap program ini (Butterworth Bike) dapat diteruskan pada masa hadapan sekaligus mencetus kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai gaya hidup sihat,” ujarnya sejurus upacara pelepasan peserta.

Menurut Rozali, penganjuran tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif MPSP dalam mendokong Pelan Butterworth Baharu.

Dianjurkan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Cross World Cycling Club dan Think City Sdn. Bhd., peserta bukan sahaja dapat menikmati keindahan Butterworth, malah turut merasai pengalaman berkayuh melalui beberapa jalan utama di sini.

Antaranya, Jalan Bagan Ajam, Jalan Sungai Lokan menuju ke Penaga sebelum berpatah balik ke poin mula melalui Jalan Teluk Air Tawar.

Peserta yang berjaya menghabiskan kayuhan menerima medal dan sijil penyertaan.