Teruskan kawalan kendiri, patuhi SOP – Datuk Bandar MBPP

AIR ITAM – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang yakin bahawa kawalan kendiri dan pematuhan terhadap Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) mampu mengekalkan status zon hijau di kawasan pulau.

 

Meskipun baru-baru ini, empat kes aktif direkodkan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS), dua daerah di bahagian pulau iaitu daerah Timur Laut dan Barat Daya, masing-masing di bawah pentadbiran MBPP, masih lagi mengekalkan status hijau sehingga kini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus mengadakan pemantauan pematuhan SOP ke atas sebuah pasar raya dekat Air Itam, 11 Ogos 2020.

 

Menurut Tung Seang, MBPP mengambil inisiatif menjalankan pemantauan pematuhan SOP melibatkan premis-premis makanan dan pasar raya di sini dalam usaha mengekalkan kawasan pulau sebagai zon hijau.

 

“Hari ini (11 Ogos) merupakan hari ke-147 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau hari ke-63 PKP Pemulihan dilaksanakan dan kawasan pulau kekal zon hijau selama 106 hari.

 

“Kalau boleh kita (MBPP) mahu kekalkan kawasan pulau ini sebagai zon hijau selama-lamanya, kerana rata-rata peniaga dan pengusaha tidak mampu lagi menghadapi PKP.

 

“Kita tidak mampu untuk sekali lagi menghadapi ‘lock down’, kalau kita dapat lihat kesan terhadap ekonomi, betapa susahnya semasa PKP yang mana banyak sektor terjejas dari segi ekonomi dan sosial sehingga memberi kesan kepada rakyat.

 

“Jadi sekarang terpulang kepada semua untuk meneruskan kawalan kendiri yang sempurna dengan mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP Pemulihan ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, Tung Seng turut menegaskan bahawa umum dikehendaki mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam atau menaiki kenderaan awam serta mematuhi penjarakan fizikal satu meter selain kerap membasuh tangan dengan sabun dan memerhati sebarang gejala di persekitaran.

 

Kelmarin, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan MBPP, M. Bawani bersama-sama anggota Jabatan Pelesenan menjalankan pemantauan pematuhan SOP di sekitar kawasan George Town membabitkan premis makanan dan pasar raya.

 

Ketika ditemui, beliau berkata, rata-rata premis makanan dan pasar raya yang ‘dikunjungi’ pihaknya mendapati penjarakan fizikal tidak dipatuhi.

 

“Penjarakan fizikal antara aspek yang perlu ditambah baik lagi selain pematuhan lain-lain SOP yang telah ditetapkan.

 

“(Dan) hasil daripada 42,714 pemeriksaan yang dilakukan oleh MBPP (di bahagian pulau), 99.14 peratus berjaya mematuhi SOP,” katanya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN