Teruskan Kempen PGO, bentuk kesedaran umum terhadap isu keganasan domestik – Kon Yeow

PENGKALAN KOTA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan penganjuran Kempen Penang Goes Orange (PGO) dalam membentuk kesedaran kepada masyarakat umum terhadap isu keganasan domestik membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sejak penganjuran Kempen PGO pada tahun 2014, pihaknya komited untuk terus membawa mesej supaya masyarakat sedar dan dapat membantu mangsa keganasan domestik untuk mendapatkan pertolongan yang diperlukan.

 

KETUA Menteri tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara senam robik bersama-sama peserta Kempen Penang Goes Orange anjuran JPWK Padang Kota dan Pengkalan Kota dekat sini.

 

Isu keganasan rumah tangga bukan satu isu kesihatan keluarga sahaja tetapi juga melibatkan masyarakat umum yang mana kesannya akan menjejaskan masyarakat secara keseluruhan.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan Kempen PGO ini demi membentuk masyarakat dan keluarga yang sihat serta harmoni,” ujarnya pada penganjuran Kempen PGO 2021 anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dan Pengkalan Kota dekat Taman Kejiranan Macallum di sini pada 27 November 2021.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyediakan Khidmat Sokongan Pertama atau First Support Point yang bertujuan memberi kemudahan kepada mangsa keganasan mendapatkan pertolongan.

 

GELAGAT Ketua Menteri merakamkan gambar bersama-sama peserta yang hadir.

 

“Kini, pihak Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama Pusat Sistem Maklumat Geografi Pulau Pinang (Pusat PEGIS) giat membangunkan aplikasi yang bakal dikenali sebagai Aplikasi First Support Point.

 

“(Dan) melalui aplikasi ini, ia bukan sahaja akan memudahkan mangsa mendapatkan pertolongan malah juga membolehkan mangsa atau orang awam mengenal pasti lokasi First Support Point berdekatan di kawasan masing-masing,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Terdahulu, Kon Yeow yang hadir dengan memakai kemeja-T berwarna jingga meluangkan masa kira-kira 15 minit bersenam robik bersama-sama peserta yang mengambil bahagian dalam kempen tersebut di sini.

 

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Pengerusi JPWK KADUN Padang Kota, Datin Yeoh Phaik Suan; Pengerusi JPWK KADUN Pengkalan Kota, Tan Cheng Guat; Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Tanjong, Lau Keng Ee dan Pengerusi Happy Star Fitness Dance, Ricky Goh Wai Kong.

 

Bertemakan ‘Keluarga Selamat : Berhubung. Komited. Kolektif’, kempen tahun ini menyeru masyarakat umum untuk turut serta berganding bahu menyebarkan kesedaran terhadap isu keganasan domestik.

 

Tahun ini, Kempen PGO diadakan selama hampir tiga minggu mulai 22 November sehingga 10 Disember ini dengan pelbagai aktiviti diadakan dalam usaha membanteras keganasan dan menyediakan persekitaran yang sihat, selamat dan bahagia, sejajar dengan Visi Penang2030 : Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Sebagai rekod, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia dan satu-satunya negeri yang menganjurkan Kempen PGO sejak tujuh tahun lalu.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING