Teruskan pemerkasaan komuniti ikut acuan Visi Penang2030, kurangkan ketidaksamaan yang wujud

Admin
4885755d 5ee7 4b57 9f9a 51bf1430cbac KETUA Menteri (kanan sekali) turut menyampaikan bantuan tunai menjelang 1 Syawal yang disumbangkan oleh pihak Malakoff kepada salah seorang penerima terpilih dalam Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Jamek Perai di sini pada 31 Mac 2024.

PERAI – Pembinaan Masjid Jamek Perai yang siap serta beroperasi sejak bulan Ogos tahun lepas merupakan satu lagi bukti usaha pemajuan infrastruktur khusus untuk beribadah dan pengumpulan komuniti di negeri Pulau Pinang yang tidak pernah terhenti hingga kini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap usaha pemerkasaan komuniti mengikut acuan Visi Penang2030 dapat mengeluarkan golongan sasar daripada kepompong sedia ada di samping mengurangkan ketidaksamaan yang wujud.

“Pembinaan masjid ini merupakan salah satu bukti bahawa penyediaan infrastruktur buat ruang beribadah dan pengumpulan komuniti itu tidak pernah terhenti di Pulau Pinang.

“Melalui Visi Penang2030 yang dijadikan panduan untuk memacu negeri ini, sememangnya pemerkasaan rakyat melalui kepelbagaian program serta dasar yang sedang dan telah direncanakan mampu membawa golongan sasaran keluar daripada kepompong sedia ada dan seterusnya mengurangkan ketidaksamaan yang wujud,” katanya semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa (Iftar) di Masjid Jamek Perai dekat sini pada 31 Mac 2024.

5095f437 e8e7 4974 bae2 fee8a4d31221
SERENTAK pada majlis sama, Ketua Menteri (dua dari kiri) turut menyaksikan penyampaian dua cek replika sumbangan Wakalah Asnaf Zakat 2024 berkaitan di perkarangan Masjid Jamek Perai di sini tadi.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pihaknya turut akan melihat serta mengadakan perbincangan lanjut berkenaan tanah untuk cadangan pembangunan tambahan masjid di sini.

Selain itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Malakoff atas sumbangan bantuan menyambut Aidilfitri kepada 30 penerima terpilih dalam kalangan ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri hari ini akan terus mengeratkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghulurkan sumbangan bantuan kepada golongan terpilih bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Puasa di negeri ini.

“Seperti yang saya nyatakan di majlis-majlis sama sebelum ini, Kerajaan Negeri sememangnya amat menghargai peranan dan jasa barisan kariah masjid, NGO serta syarikat-syarikat yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan.

“Sesungguhnya, usaha murni ini bukan sahaja memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima, tetapi turut memudahkan urusan Kerajaan Negeri terutama dalam pengagihan bantuan-bantuan kepada golongan sasaran ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Turut berucap, Pengurus Loji Janakuasa Malakoff Perai, Ir. Jauhar Mohamed.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Pengerusi Kariah Masjid Jamek Perai, Abdul Wahab Haniff; Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Perai, Suhairi Musa; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perai, S.R. Sri Sangar dan Pengurus Kanan, Hal Ehwal Korporat Malakoff Kuala Lumpur, Md. Yuha Ismail turut sertai majlis berbuka puasa peringkat komuniti lokal tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR