Teruskan rundingan SPRWTS babit ‘kerajaan campuran’ Negeri Perak, kata ADUN Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Perak baru yangç ditadbir secara bersama oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 22 November 2022.

“Ini, merupakan peluang keemasan untuk menjayakan projek SPRWTS yang sudah berada dalam perbincangan sejak tahun 2009 lagi,” jelasnya.

Menurut Lai Heng lagi, Projek SPRWTS amat penting sebagai sumber air mentah tambahan bagi menampung keperluan permintaan air negeri Pulau Pinang pada masa hadapan sehingga tahun 2050.

Selain itu, beliau berkata hasil kajian Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut menunjukkan kapasiti air (mentah) Sungai Perak mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan air dari Utara Perak dan negeri Pulau Pinang.

“Maka, projek ini adalah untuk kebaikan bersama,” jelasnya lagi.

Pada pagi semalam (21 November 2022), Kon Yeow semasa membentangkan Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang antara lain turut menegaskan bahawa pentadbirannya akan meneruskan rundingan bersama dengan Kerajaan Negeri Perak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN