Teruskan segala projek dan perancangan demi manfaat rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang baharu, Ir. Zainuddin Yusoff hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar.

 

IR. Zainuddin Yusoff (kiri) sedang berbincang mengenai perancangan terkini Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang.

Mengiringi beliau ialah mantan Pengarah JPS Negeri Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim yang kini dilantik sebagai Pengarah Pengairan dan Saliran Pertanian dekat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Putrajaya berkuat kuasa 12 April lalu.

 

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, beberapa perkara berkaitan pengairan dan saliran negeri turut dibangkitkan. Antaranya rancangan pengairan dan tebatan banjir di daerah-daerah; projek-projek pengairan serta saliran yang telah siap dan sedang dilaksanakan serta perancangan masa hadapan membabitkan projek rancangan tebatan banjir berimpak tinggi di kawasan kerap banijr.

 

Pada kesempatan itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Shukri atas khidmat di Pulau Pinang serta berharap agar segala projek serta perancangan yang direncanakan dapat diteruskan di bawah Zainuddin demi manfaat rakyat di negeri ini.

 

Sebelum ini, Zainuddin pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Sungai dan Pantai di JPS Negeri Pulau Pinang. Beliau kemudiannya dilantik ke jawatan Timbalan Pengarah Bahagian Projek Khas di Jabatan Pengairan dan Saliran di Kuala Lumpur sebelum kembali berkhidmat di Pulau Pinang mulai 15 April 2021.

 

Tahniah dan selamat bertugas!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI