Tetapkan pada pelan dan patuhi jadual pemulihan air, Ketua Menteri ingatkan ‘pasukan’ CEO PBAPP

Admin
img 7223 KETUA Menteri (kanan sekali) diiringi K. Pathmanathan (depan, dua dari kanan) dalam sidang media berkaitan seusai melawat tapak cadangan penggantian injap kawalan 1.2m di LRA Sungai Dua di sini 9 Januari 2023.

SUNGAI DUA – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diingatkan supaya menyelesaikan kerja-kerja kejuruteraan berkaitan rancangan gangguan bekalan air berjadual dalam tempoh 24 jam bermula 6 pagi esok (10 Januari 2024) serta memastikan proses pemulihan air dapat dicapai mengikut sasaran firma pengeluar air negeri tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Ir. K. Pathmanathan seusai melihat proses persiapan awal di tapak cadangan penggantian injap kawalan 1.2 meter (m) dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini pada 9 Januari 2023.

“Tetapkan pada pelan, patuhi jadual (proses pemilihan) yang disasarkan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Berdasarkan perancangan PBAPP, Kon Yeow memberitahu bahawa kerja-kerja penggantian dua injap kawalan 1.2m dekat LRA Sungai Dua sertai 22 projek penyelenggaraan pencegahan berkaitan di seluruh negeri ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 6 pagi pada 11 Januari 2024.

Sejurus kerja-kerja kejuruteraan itu siap, beliau memberitahu bahawa 33 peratus daripada 590,000 pengguna yang terjejas, khususnya sekitar Seberang Perai akan kembali mendapat bekalan air terawat dalam proses pemulihan air yang disasarkan peringkat PBAPP bermula 6.00 pagi 12 Januari 2024.

Tambah beliau, 84 peratus pengguna lain sekitar pulau dan Seberang Perai akan turut mendapat bekalan air teramai kembali mulai 6 pagi pada Sabtu nanti (13 Januari 2023).

“Pada 24 jam selanjutnya iaitu sekitar 6 pagi pada 14 Januari 2024, kira-kira 95.5 peratus (daripada 590,000 pengguna) akan dapat kembali bekalan air terawat.

“Maksudnya, masih ada berbaki 0.5 peratus pengguna di kawasan hujung paip agihan (EoL) serta mereka yang berada dekat kawasan tinggi terutama di Barat Daya mungkin akan mengalami gangguan sama (selepas 6 pagi 14 Januari 2024),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya mahu PBAPP membuat sekurang-kurangnya tiga kemas kini setiap hari berhubung kerja-kerja kejuruteraan supaya semua pihak dapat mengetahui keadaan yang sebenar di sebalik rancangan gangguan bekalan air berjadual serta proses pemilihan berwajib kelak.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Pathmanathan menyatakan bahawa tempoh 24 jam untuk menyiapkan kerja-kerja kejuruteran yang disasarkan peringkat PBAPP tersebut termasuk mengambil kira kemungkinan faktor cuaca seperti hujan dan sebagainya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pada kali ini,PBAPP telah meluluskan sejumlah RM180 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian dua injap kawalan serta 22 projek penyelenggaraan pencegahan berwajib lain.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye turut sertai lawatan kerja Kon Yeow ke sini pada petang tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN