TH serah zakat perniagaan RM3.44 juta

Admin
TUN Dr. Abdul Rahman Abbas (tiga dari kiri) mewakili MAINPP menerima cek replika daripada Syed Saleh Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) dalam satu majlis ringkas pagi ini.

GEORGE TOWN – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3,446,420.49 bagi tahun kewangan terakhir 2018 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pembayaran zakat itu mencatatkan peningkatan sebanyak 24.9 peratus berbanding tahun 2017 (RM2,759,734,60).

“Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun 2018 yang akan dibayar kepada negeri di Malaysia turut mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6 peratus  iaitu RM85.57 juta berbanding tahun 2017 (RM67.61 juta).

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutamanya kepada golongan asnaf.

“TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh ZPP ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di Pulau Pinang bagi kelestarian golongan berkenaan,” ujarnya.

Syed Saleh menyampaikan pembayaran itu kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Yang di-Pertua MAINPP) dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAHEAIPP), Zulkifli Long.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS