GEORGE TOWN – Taman Ekologi The Habitat telah melanjutkan waktu operasinya sehingga pukul 9 malam bermula 31 Ogos 2024.
Sebelum ini, The Habitat ditutup kepada pengungjung pada pukul 7 malam pada hari bekerja dan 8 malam pada hujung minggu.
Kini, dengan jadual pengoperasian baharu, ia akan ditutup pada pukul 9 malam dengan kemasukan terakhir adalah pada pukul 6.30 petang, manakala waktu perkhidmatan funikular terakhir turun dari Bukit Bendera pula pada pukul 11 malam.
Pengarah Eksekutifnya, Allen Tan berkat langkah memanjangkan waktu operasi adalah untuk membolehkan pengunjung menerokai keajaiban alam semula jadi di tengah-tengah hutan rizab biosfera Bukit Bendera pada waktu malam.
Beliau berkata, langkah itu juga dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan keunikan haiwan yang aktif pada waktu malam di Bukit Bendera.
“Tidak ramai yang mengetahui bahawa Bukit Bendera adalah habitat bagi beberapa spesies haiwan yang aktif keluar mencari makanan pada waktu malam.
“Kebanyakannya adalah haiwan arboreal yang mana mereka menjalani kehidupan seharian di atas pokok.
“Sebagai contoh, kita mempunyai Colugo (kubung) dan tupai terbang gergasi merah yang aktif pada waktu malam dan akan terbang dari pokok ke pokok untuk mencari makanan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Allen Tan memberitahu bahawa jumlah pengunjung ke The Habitat menintkat sekitar 20 hingga 30 peratus dari bulan Mei hingga Jun pada tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, sejak The Habitat mula beroperasi kira-kira sembilan tahun lalu, jumlah pengunjung tahunan yang dicatatkan meningkat daripada 50,000 kepada lebih 100,000 orang.
“Pelancong dari China adalah paling ramai, diikuti Singapura, Jerman, Australia dan pengunjung tempatan.
Melangkah ke hadapan, Allen Tan menzahirkan harapan agar projek kereta kabel Bukit Pinang yang sedang berjalan ketika ini dan dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026, akan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke The Habitat pada waktu malam
“Bagi menampung kemasukan pelancong antarabangsa, The Habitat kini sedang menaik taraf papan tanda dan melaksanakan kod QR untuk membantu pengunjung yang tidak berbahasa Inggeris,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : The Habitat