Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD
SEBERANG JAYA – Pembukaan rasmi Hotel The Light (The Light) di Lebuh Tenggiri 2 di sini dilihat dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai hasrat menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar seiring dengan pembangunan yang seimbang serta mampan.
Kenyataan itu diungkapkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa berucap pada Majlis Makan Amal Pembukaan The Light Grand Ballroom di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, kejayaan pihak pengurusan The Light Hotel Sdn. Bhd. membina hotel membabitkan kos sebanyak RM120 juta tersebut dilihat amat tepat pada masanya dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Seberang Perai.
“Ini adalah berikutan permintaan yang tinggi sama ada untuk penginapan , mahupun penganjuran seminar dan mesyuarat di Seberang Perai.
“Tambahan pula, pada tahun ini, negeri ini akan menyambut Tahun Melawat Pulau Pinang 2015,” ujar Guan Eng.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri ) , barisan Exco Kerajaan Negeri dan pengurus besar hotel berkenaan, Azhar Mohammad.
Dalam pada itu, Azhar ketika ditemui memberitahu, hotel itu mampu menampung permintaan untuk industri pelancongan di Pulau Pinang dengan menyediakan kemudahan penginapan bertaraf lima bintang.
“ Pembinaan hotel ini adalah seiring dengan pembangunan di Seberang Jaya dan Kulim yang terletak berhampiran dari sini.
“Ia juga diharapkan dapat memenuhi permintaan tinggi para pelancong yang kini mula beralih ke Seberang Perai sebagai destinasi pelancongan perubatan,” jelas beliau.
Hotel The Light merupakan sebuah hotel baharu setinggi 20 tingkat yang menyediakan kemudahan 303 bilik termasuk 12 suite serta sebuah dewan utama yang mampu menampung seramai 1,600 orang pada satu-satu masa.