The Millennia@Bayan Lepas hab pembangunan strategik kendalian LPNPP

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa projek pertama di bawah kendalian Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dikenali The Millennia@Bayan Lepas bakal menjadi hab pembangunan yang rancak dan strategik.

 

Ini kerana, menurut beliau adalah disebabkan lokasinya yang terletak di Jalan Mayang Pasir, Bukit Gedong iaitu sebuah kawasan yang amat sesuai kepada pemain industri terutamanya sektor perkilangan.

 

“Umumnya, projek ini terletak di pusat pembangunan yang rancak, justeru ia dilihat amat sesuai ekoran projek berkaitan akan menyediakan unit-unit Rumah Mampu Milik (RMM) kepada golongan yang mencari nafkah di kawasan industri Bayan Lepas mahupun aktiviti-aktiviti komersial ataupun institusi serta agensi kerajaan yang bertapak sekitar ini.

 

“Di atas tanah seluas 8.70 ekar, pembangunan projek ini akan merangkumi komponen-komponen yang masih tertakluk kepada kelulusan teknikal daripada pihak berkuasa dengan anggaran minimum keseluruhan unit rumah yang akan dibina adalah berjumlah 864 unit,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Pinang The Millennia Bayan Lepas di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

 

Tambah Kon Yeow, selain berusaha menyediakan projek baharu, Kerajaan Negeri juga giat mengusahakan ‘urban renewal’ atau pembangunan semula kawasan penempatan lama ke arah yang lebih baik.

 

“Rasanya perkara ini bukan baharu kerana sebelum ini iaitu 10 tahun lalu pun kita (Kerajaan Negeri) sudah bincang membabitkan beberapa kawasan untuk melaksanakan inisiatif ini seperti di Padang Tembak, Taman Free School dan Bayan Baru ini sendiri.

 

“LPNPP juga sudah melihat ‘Five Point Blocks’ Bayan Baru yang bakal menjadi projek pertama LPNPP dibangunkan menerusi pendekatan berkaitan.

 

“Ia dijangka melibatkan pemindahan penduduk asal sebelum pembangunan semula perumahan yang lebih tinggi serta keluasan lantai bersesuaian,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Jagdeep ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa projek The Millennia@Bayan Lepas bakal membangunkan RMM maksimum RM300,000.

 

Difahamkan, projek tersebut akan memulakan kerja-kerja fizikal dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan daripada sekarang.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI