MULA berjinak dengan hobi mengumpul barangan antik sejak tahun 1970, P. Thiyakarajan, 53 yang berasal dari Sungai Siput, Perak menceritakan latar belakang tentang koleksi pengumpulannya.
Thiyakarajan sememangnya berminat dalam mendalami sejarah, akan tetapi dia menegaskan urusan jual beli barangan antik hanya dilakukan sekiranya kena pada harganya.
Ditanya mengenai seterika tradisional yang paling mahal pernah dibelinya mencecah harga sehingga RM1,500 manakala yang lain kebiasaannya hanya dalam kadar RM500 dan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM70,000.
Thiyakarajan mula mengumpul seterika tradisional secara tegar sekitar tahun 2022 dan menyatakan koleksi awalnya bermula di Lorong Kulit.
“Umum diketahui di Lorong Kulit sememangnya mempunyai pelbagai jenis barangan lama yang dijual dan banyak juga yang menarik dan masih boleh digunakan.
“Akan tetapi, seterika tradisional menarik perhatian saya serta membuat perasaan ingin tahu dan menambah koleksi lebih banyak semakin tinggi,” ujarnya yang memaklumkan bukan hanya seterika menjadi tumpuannya kini, malahan barangan antik lain juga.
Pada peringkat awal mengumpul barang-barang lama, Thiyakarajan berkata beliau cuma berniat ingin memahami sejarah sewaktu zaman dahulu.
“Setiap kali mengumpul sesuatu barangan yang antik, (saya) pasti (terfikir) terdapat cerita sejarah di sebalik koleksi (yang jarang ditemukan itu).
“Antara barangan yang mempunyai nilai sentimental tersendiri ialah lampu minyak tanah yang diberikan ayah sewaktu dahulu.
“Jika ditanya yang mana satu barangan antik menjadi kegemaran, sudah tentu semua saya gemari, asalkan ia barangan lama sudah tentu saya minat,” katanya sambil berkongsi lesung kayu antara koleksi yang berharga dek pada masa kini masyarakat sudah tidak gunakan lagi.
Yang menarik adalah Thiyakarajan bukan sekadar seterika tradisional yang dikumpul, malah barangan antik yang lain juga seperti pedang, basikal tua, motosikal, lesung kayu, tempayan, periuk tembaga, periuk belanga, mesin penimbang atau pikul dan banyak lagi koleksi yang jarang ditemui kini.
Dalam sesi bicarawara yang sama, Thiyakarajan turut berkongsi bahawa negara United Kingdom (UK) mempunyai sumber koleksi barangan antik yang banyak sehingga rambang mata dibuatnya.
“Tidak dinafikan negara UK mempunyai banyak koleksi barangan antik masyarakat di Malaysia dek jajahan dan pemerintahan kerajaan mereka terdahulu.
“Oleh itu, saya tidak melepaskan peluang keemasan menambah lagi koleksi seterika tradisional yang sedia ada kerana timbulnya minat mengetahui setiap fungsi seterika berkaitan dek lain cara penggunaannya pada masa dahulu.
“Sebagai contoh, seterika dahulunya menggunakan arang bagi menghasilkan haba panas dek dahulu masih lagi tiada sumber bekalan elektrik, kemudiannya digosok terlebih dahulu ke atas daun pisang bagi mengawal suhu panasnya, setelah menepati suhu yang tepat baju boleh mula digosok,” jelasnya lanjut.
Penglibatan Thiyakarajan yang telah berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) turut mendapat perhatian banyak pihak dek koleksi barangan antik miliknya.
“Saya tidak merancang untuk memecahkan MBOR, rakan baik saya, Prakash yang mengajak untuk membuat permohonan dan setiap proses boleh dikatakan mudah dan cepat.
“Kemudian, pada 17 September 2022 lalu, MBOR memberi pengiktirafan di Tyaka Vintage House yang juga pusat latihan karate milik saya, juga dihadiri Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang, Dato’ K. Pulayantran,” kongsinya sambil memaklumkan beliau turut dianugerahi Darjah Kebesaran Negeri Kedah, Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Buletin Mutiara difahamkan, Thiyakarajan juga merupakan jurulatih karate sepenuh masa secara persendirian dan juga pengajar yoga di Kedah Sports Club dan telah merantau lebih kurang 80 buah negara sepanjang penglibatannya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD