GEORGE TOWN – Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata bahawa pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan mengenai hasil padi terjejas di negeri Pulau Pinang.
Ini kerana, katanya, jadual penanaman padi bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka akan mengeluarkan hasil sekitar bulan Februari depan, sementara bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula pada pertengahan bulan Januari ini.
“Sehingga kini tiada aduan berkenaan tanaman padi.
“Tiada gangguan bekalan hasil pertanian sama ada lambakan hasil mahupun serangan (makhluk) perosak atau penyakit yang disebabkan oleh cuaca serta haba yang panas,” jelasnya menerusi kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara pada 2 Januari 2024.
Pun begitu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, Jabatan Pertanian Negeri melalui Cawangan Biosekuriti Tanaman telahpun diarahkan untuk terus memberi penerangan serta taklimat kepada petani dan usahawan yang berpotensi menghadapi isu serangan makhluk perosak atau penyakit dek musim kering ketika ini, serta kaedah kawalan bersesuaian.
“Selain itu, Pejabat Exco dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) dan juga pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) akan bersedia dengan aset bagi tujuan pinjaman dan fasiliti yang ada di jabatan dan agensi masing-masing bagi membantu pesawah serta petani-petani lain dalam tempoh terjejas seperti pam air, tangki serta sistem pengairan
“Saya akan memastikan pihak jabatan pertanian sentiasa memberi penerangan kepada ahli kelompok dan petani padi, usahawan tanaman lain seperti sayuran dan buah-buahan berkenaan perubahan cuaca serta potensi serangan perosak dan penyakit dalam tempoh musim kering serta kaedah kawalan serta pencegahan yang bersesuaian,” jelasnya lagi.
Beliau memberi respons itu susulan terdapat laporan berita semalam mengenai hasil tanaman termasuk padi di negeri tertentu terjejas dek perubahan iklim yang kian panas dan kering serta terdedah pada kemungkinan serangan makhluk perosak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI