GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengesahkan bahawa bekalan air di negeri ini masih dalam keadaan sihat dan mencukupi serta tiada catuan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Bekalan air masih sihat dan akan dibekalkan seperti biasa, serta tiada sebarang catuan (bekalan air bersih) walaupun kita turut bimbang dengan musim kemarau,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) serta beberapa Exco Kerajaan Negeri lain.
Sehingga 23 Mac lalu, Guan Eng memberitahu bahawa 67.9 peratus bekalan air di Empangan Teluk Bahang mampu menampung keperluan penduduk dalam tempoh 207 hari, manakala, 72.5 peratus bekalan air di Empangan Air Itam pula mencukupi dalam tempoh 71 hari.
“Sebanyak 31 peratus (bekalan air) di Empangan Mengkuang pula sebenarnya disengajakan (diturunkan) dalam tempoh dua tahun ini kerana kita (Kerajaan Negeri) dalam proses pelebaran atau pembesaran empangan,” jelasnya yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).
Bagaimanapun, beliau memberitahu, sumber air negeri akan terus mencukupi selagi aras air Sungai Muda berada pada ketinggian 2.5 meter.
“Yang penting sekali adalah Sungai Muda masih pada tahap yang sihat dengan ketinggian air 2.41 meter, (aras) kritikal adalah 1.5 meter,” jelas Guan Eng.