Tiada hasrat tubuh SPV urus Gurney Bay kini, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Syor penubuhan syarikat bertujuan khusus (SPV) bagi menguruskan Gurney Bay akan dikaji keperluannya pada masa hadapan kerana mengambil kira keadaan kewangan Kerajaan Negeri kini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memberi respons itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng semasa sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Disember 2023.

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, Gurney Bay mula dilaksanakan sejak tahun 2022 dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM221 juta, dan menerusi Bajet 2024 sebanyak RM80 juta diperuntukan untuk projek tersebut.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu lagi, komponen ‘water body A’ bagi projek itu dengan keluasan 6.95 ekar, sementara ‘water boday B’ berkeluasan 7.91.

“Kini, kerja-kerja tambakan bagi water body ‘B’ sedang dijalankan di tapak dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2024.

“Manakala, kerja-kerja tambakan water body ‘A’ dijadualkan bermula pada awal tahun 2024 selama 18 bulan.

“Projek ini akan memberikan impak positif kepada ekonomi negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Kon Yeow, kelak Gurney Bay bakal dilengkapi dengan 800 lot tempat letak kereta, tempat letak motosikal (238) dan tempat letak bas (12) di samping mewujudkan pengangkutan teksi air bagi mengurangkan jejak karbon.

Kon Yeow memberitahu bahawa Gurney Bay dianggarkan membawa pulangan kepada Kerajaan Negeri kira-kira RM800 juta kelak apabila kerja-kerja tambakan serta ukur halus dilaksanakan pada akhir tahun 2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS