Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyangkal dakwaan wujudnya perbuatan menciplak proposal bagi tujuan pembidaan projek kerajaan di Pulau Pinang.
Jelas beliau, perbuatan tidak sihat itu tidak pernah berlaku di negeri ini sejak pengenalan sistem tender terbuka pada 2008.
“Ia (perbuatan ciplak proposal) mungkin pernah berlaku dalam beberapa kementerian melibatkan bidaan projek kerajaan, namun tidak pernah berlaku di Pulau Pinang kerana adanya sistem tender terbuka.
“Tiada kes curi idea orang lain dalam sesuatu projek itu kerana sistem tender terbuka yang diamalkan Kerajaan Negeri adalah telus tanpa melibatkan kroni.
“Itulah yang membezakan kita (Kerajaan Negeri) dengan Kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Tambah Guan Eng, sejak pelaksanaan sistem tender terbuka, pihaknya (Kerajaan Negeri) tidak menerima sebarang aduan melibatkan penciplakan proposal.
“Oleh itu, bagi saya, sistem tender terbuka ini adalah satu-satunya cara untuk mengekang kejadian menciplak proposal dan Kerajaan Persekutuan boleh melaksanakannya bagi menghentikan amalan ciplak proposal ini,” ujarya yang turut mempelawa Kerajaan Persekutuan untuk cuba melaksanakan sistem tender terbuka.
Dalam perkembangan sama, mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dalam akhbar perdana Bahasa Inggeris, News Straits Times (NST) pada 4 Ogos lalu (muka surat 10 bertajuk, Call to probe into fake housing papers), berhubung perbuatan menciplak proposal syarikat tertentu yang berleluasa di negeri ini, Guan Eng meminta supaya Musa tampil mengemukakan bukti.
“Jika Musa mempunyai maklumat mengenai perbuatan sedemikian, Musa hendaklah mengemukakannya untuk siasatan agar tindakan tegas dapat diambil.
“Tetapi sekiranya kenyataan NST itu salah, maka NST tidak mempunyai intergriti dalam melaporkan sesuatu (berita), sedangkan dua akhbar lain iaitu Utusan Malaysia dan The Star tidak pula merujuk kes tersebut berlaku di Pulau Pinang ,” tegas beliau yang merujuk kepada keratan-keratan akhbar berkenaan.