Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Foto : ALISSALA THIAN
BAYAN BARU– Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Puau Pinang (PDC) dan anak syarikatnya PDC Properties Sdn. Bhd. membina 694 unit rumah kos sederhana dan kos sederhana rendah di Telok Kumbar, gara-gara permohonan Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 langsung tidak mendapat jawapan positif daripada Kerajaan Pusat.
Pengerusi PDC Properties Sdn. Bhd., Wong Hon Wai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam berkata, Kerajaan Negeri pernah memohon daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan supaya cadangan pemajuan rumah mampu milik tersebut dimasuk dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK- 10), namun tidak menampakkan sebarang respon positif.
“Kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh tunggu lagi kerana bagi saya sudah tunggu lama dan kita harus tukar strategi dengan Kerajaan Negeri membina rumah seperti yang berlaku pada era 1970-an dan 1980-an.
“Ini kerana selepas tahun 1970-an dan 1980-an, pembinaan rumah mampu milik oleh Kerajaan Negeri agak perlahan dan bayangkan tempat kepadatan tinggi seperti di Bandar Baru Air Itam yang dibangunkan pada 1990-an ke semua projek adalah dibina pemaju swasta dan tiada satu unit pun oleh Kerajaan Negeri,” ujar Hon Wai semasa satu sidang media di PDC di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, pemajuan projek itu membabitkan tanah bernombor lot 865, 866 dan 873 dalam Mukim Sembilan, Teluk Kumbar berhadapan Puspakom dengan sokongan dana daripada Kerajaan Negeri sendiri. Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM500 juta untuk dana pembinaan rumah mampu milik.
Projek tersebut terdiri oleh dua blok. Sebanyak 348 unit rumah kos sederhana berkeluasan lantai antara 850 hingga 1,000 kaki persegi akan dibina dalam blok pertama berketinggian 26 tingkat.
Manakalala, 346 unit rumah kos sederhana rendah berkeluasan lantai 700 kaki persegi akan dibina dalam blok kedua berketinggian 25 tingkat.
“Saya menjangkakan unit-unit ini akan mendapat permintaan hangat berdasarkan lokasi yang strategik dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang bakal siap tidak lama lagi, berhampiran dengan zon perindustrian bebas serta boleh menarik minat terhadap pembeli muda yang inginkan memiliki
rumah yang awal,” jelas Hon Wai lagi.
Itu, katanya, Rancangan Kerajaan Negeri membina 20,000 unit rumah mampu milik di semua daerah lain, seperti di Jalan S.P Chelliah dekat Daerah Timur Laut, daerah Seberang Perai Utara (Kampung Jawa dan Ampang Jajar), daerah Seberang Perai Tengah (Bukit Mertajam) dan daerah Seberang Perai Selatan (Bandar Cassia, Batu Kawan).
Beliau berkata, semua harga rumah yang bakal dibina akan diumumkan kemudian.