Tiada kenaikan mendadak harga ayam selepas penamatan subsidi

GEORGE TOWN – Tiada kenaikan mendadak harga ayam berlaku selepas kerajaan bertindak menamatkan pemberian subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa Rabu (1 November 2023).

Sebaliknya, tinjauan Buletin Mutiara ke beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Teluk Air Tawar mendapati ayam segar dijual pada harga RM8.80 hingga RM9.20 sekilogram iaitu lebih rendah daripada harga siling ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini iaitu RM9.40.

Namun begitu, tinjauan di pasar awam Seberang Jaya pula mendapati rata-rata peniaga meningkatkan jualan harga ayam sebanyak RM0.40 sekilogram kepada RM9.80 berbanding harga siling yang ditetapkan.

Abdul Talib Mansor ketika ditemui di Pasar Awam Seberang Jaya.

Menurut ABDUL TALIB MANSOR, 64, peningkatan harga tersebut dibuat selepas mengambil kira kos lain termasuk bahan-bahan pembungkus dan upah pekerja.

“Sebenarnya harga sekarang lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu RM10.50 sekilogram dan  selepas harga diapungkan kami sepakat menjual pada harga RM9.80 dengan mengambil kira kos-kos bahan lain.

“Harga ayam tidak naik mendadak walaupun kerajaan mansuhkan subsidi kerana bekalan ayam dari pembekal adalah stabil dan mencukupi,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan menjual ayam selama 30 tahun.

Muhamad Kamal Tajuddin.

Sementara itu, MUHAMAD KAMAL TAJUDDIN, 68, berkata bahawa harga ayam pada peringkat pembekal hari ini mengalami penurunan sebanyak RM0.30 sekilogram.

Katanya, penurunan tersebut membolehkan beliau menjual ayam pada harga RM8.80 sekilogram berbanding RM9.40 pada minggu lalu.

“Saya menjual ayam kepada pelanggan setia yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk kawasan pinggir bandar dan berpendapatan rendah, jadi harga yang ditetapkan tidak boleh tertalu mahal.

“Walaupun keuntungan yang diperoleh tidak banyak tapi yang penting pelanggan tetap datang untuk membeli seperti biasa,” ujarnya.

Ditanya mengenai bekalan ayam, Muhamad Kamal berkata bahawa bekalan ayam adalah mencukupi dan mudah untuk diperolehi daripada pembekal.

“Saya perhatikan tidak berlaku pembelian panik oleh pengguna selepas kerajaan umumkan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam.

“Cuma saya sedikit bimbang jika masa akan datang akan berlaku kenaikan harga ekoran langkah kerajaan menamatkan subsidi tetapi saya berharap perkara itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui dekat Jalan Benggali, Teluk Air Tawar pagi tadi.

Perkara sama turut dimaklumkan oleh pemilik Pasar Segar Al Falah, MOHD. MUNIR DERAMAN, 45, yang mengatakan bahawa harga ayam segar mengalami sedikit penurunan dan kini dijual pada harga RM8.90 sekilogram.

“Sejak dua hari lepas harga ayam mengalami penurunan berbanding sebelum ini yang dijual pada harga RM9.40 sekilogram.

“Bekalan ayam daripada pembekala juga tidak bermasalah dan kami jangka tidak akan berlaku kenaikan mendadak buat masa sekarang,” ujarnya ringkas.

Fauzi Ahmad sedang memotong ayam yang dipesan pelanggannya.

FAUZI AHMAD, 52, pula berkata harga bagi sekilogram ayam masih dijual pada harga RM8.90 hari ini walaupun kerajaan bertindak menarik balik subsidi ayam bermula semalam.

“Permintaan terhadap daging ayam juga seperti biasa… tidak ada pembelian dalam kuantiti terlalu banyak oleh setiap pelanggan melainkan mereka yang menjalankan perniagaan makanan.

“Bekalan yang kami terima daripada pembekal juga mencukupi seperti biasa… jadi saya tidak menjangkakan harga ayam akan melambung tinggi dalam tempoh terdekat ini,” katanya yang sudah lebih tiga tahun menjalankan perniagaan tersebut.

Namun begitu, tinjauan yang dilakukan di pasar raya Pacific dekat Komtar mendapati harga ayam dilihat sedikit tinggi iaitu RM10.40 untuk sekilogram.

Menurut penyelianya, KHOO BOON HUAT, 53, harga ayam tidak mengalami perubahan dan dijual pada harga yang sama seperti sebelum ini.

“Ayam-ayam ini adalah diimport dari Thailand mungkin sebab itu harga jualannya agak tinggi berbanding harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Lagi pula kebanyakan pembeli di sini adalah terdiri daripada warga asing,” ujarnya ketika ditemui.

Terdahulu, Kerajaan bertindak menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November 2023 selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C tetap diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT