Tiada keperluan bubar GTWHI, respons Ketua Menteri

Admin
6b351c44 9274 4aa0 8791 05c84936b8cf KETUA Menteri (kiri) bersama-sama Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Tiada keperluan untuk membubarkan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) ekoran isu video promosi acara yang didakwa tidak menonjolkan warisan budaya tempatan Melayu di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah, pada 17 Julai lalu.

Respons Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan komunikasi itu disampaikan kepada pemberita pada sidang media seusai Majlis Perasmian Festival George Town (GTF) 2024 di sini sebentar tadi (19 Julai 2024).

“George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) adalah sebuah badan negeri yang melantik penganjur (GTF 2024), dan peranan utama yang dimainkan (oleh badan tersebut) adalah untuk mengekalkan status (George Town) sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Malah, GTWHI yang telah ditubuhkan 16 tahun juga menerima pelbagai pengiktirafan dan juga pernah diiktiraf sebagai pengurus terbaik (bagi kategori) Tapak Warisan Dunia di rantau Asia Tenggara.

“Oleh kerana (video promosi) ini, mahu GTWHI dibubarkan, saya kata (desakan pembangkang ini) adalah suatu permintaan yang tidak munasabah langsung,” tegasnya.

Menurut Kon Yeow, video promosi GTF 2024 sebenarnya telah dimuat naik dalam platform digital sejak lebih sebulan lepas, serta tidak mencerminkan keseluruhan 80 acara yang menonjolkan elemen kebudayaan setempat dan antarabangsa.

“Festival kali ini adalah melibatkan sembilan kumpulan penggerak budaya tempatan yang terdiri daripada 81 individu dalam pelbagai persembahan,’’ jelasnya lanjut.

Mula dianjurkan sejak tahun 2010, Kon Yeow memberitahu bahawa pengarah GTF ketika itu, Jeo Sidek bertanggungjawab membawa seniman serta pameran penggiat-penggiat seni, pengamal budaya dan sebagainya untuk dijadikan suatu festival antarabangsa yang bukan sahaja bukan sahaja melibatkan penyertaan orang tempatan sama ada dari Pulau Pinang sert negeri-negeri lain, tetapi juga sebahagian besar dari rantau antarabangsa.

“(GTF) pada kali ini pun memang menerima penyertaan dari negara Sepanyol, Taiwan, Hong Kong, Australia, Jepun dan beberapa negara lagi yang mana ia adalah berbeza dengan penganjuran George Town Heritage Celebrations yang keseluruhannya memfokuskan kepada warisan tempatan saban tahun,” jelasnya ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow mengesahkan beberapa acara hiburan yang dijadualkan berlangsung sempena penganjuran GTF 2024 akan ditangguhkan pada hari pertabalan Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim, Sabtu (esok).

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri turut respons kepada desakan Ahli Parlimen Permatang Pauh supaya nama bandar raya George Town ditukar pada Tanjong Penaga, dengan mengambil kira perspektif sejarah awal penamaan kawasan penempatan bahagian pulau di negeri ini.

“George Town dan nama-nama lain ada legasi warisan dari zaman penjajah (yang mana) kalau mahu nama dan warisan penjajah dihapuskan dalam bumi Malaysia, itu suatu keputusan yang besar.

“Bukan sekadar George Town sahaja, banyak perkara adalah bukan sahaja warisan British, (malah) Portugal, Belanda, Hindu dan lain-lain.

“Memang di bumi Malaysia ini ada banyak warisan dari bangsa-bangsa lain selain dari bangsa tempatan,” ujarnya sambil memberitahu bahawa pentadbirannya telah beberapa kali memberi respons dalam isu tersebut sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD