Tiada keperluan pindah projek asrama pekerja berpusat ke Batu Kawan – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini berpendapat bahawa tiada keperluan untuk memindahkan projek asrama pekerja berpusat (CLQ) di kawasan Teluk Kumbar ke Zon Perindustrian Batu Kawan memandangkan ia telah mendapat kelulusan teknikal Penilaian Impak Sosial (SIA).

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum ini telahpun memberi kelulusan pada projek CLQ di Teluk Kumbar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi bagaimanapun berkata Kerajaan Negeri hari ini mengambil maklum mengenai bantahan yang diutarakan.

Dalam perkara berkaitan, beliau memberitahu bahawa pekerja warga asing yang dianggarkan seramai 32,680 orang yang bermukim serta bekerja di sekitar Teluk Kumbar ketika ini, akan menghadapi masalah ke tempat kerja, jika dipindahkan ke Kawasan Perindustrian Batu Kawan.

Buletin Mutiara difahamkan, sehingga 31 Oktober tahun ini seramai 147,344 warga asing telah berdaftar melalui Jabatan Imigresen bagi mendapatkan pas lawatan kerja sementara (PLKS).

Daripada jumlah itu, seramai 69,859 orang pekerja bukan warganegara mendapat Sijil Perakuan Penginapan Pekerja (COA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Mooi Lye memberi penjelasan itu semasa membuat penggulungan ucapan sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah, sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 29 November 2023.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN