Tiada kompromi dalang racun binatang kesayangan, tegas Exco

Admin
c6c71aca a6a7 47ec b344 3ef89ef6983e JASON H’ng Mooi Lye bersama-sama Dr. Tishrin Muhammad Ismail dalam sidang media berkaitan di Komtar menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti meracuni binatang-binatang kesayangan di Pulau Pinang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memberitahu perkara itu ketika mengulas insiden lebih 20 ekor anjing yang mati mungkin dek racun dekat kawasan perumahan Mira Residence di Tanjong Bungah dalam tempoh 4 hingga 6 Julai lepas.

“Sekiranya terdapat rakaman atau apa-apa bukti yang boleh membantu proses siasatan kes ini, tolonglah serahkan kepada kami atau serahkan kepada DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) untuk melakukan siasatan,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 17 Julai 2024.

Berdasarkan Seksyen 31 (pemberian racun), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), beliau memberitahu bahawa mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Hari ini, sebuah portal arus perdana melaporkan seorang individu menzahirkan rasa sedih atas kematian seekor anjing baka Husky berusia enam tahun, yang dipercayai diracuni oleh pihak tertentu.

Mengulas pelaporan tersebut, Ketua Bahagian Regulatori DVS Pulau Pinang, Dr. Tishrin Muhammad Ismail memberitahu Mooi Lye bahawa pihaknya turut mendapat dua aduan daripada individu sama mengenai kira-kira 27 ekor anjing mati di Tanjung Bunga, yang mungkin diracuni oleh pihak tertentu.

“Apabila menerima aduan ini, kita (DVS Pulau Pinang) telah melakukan siasatan di lokasi kejadian, tidak menemukan sebarang bukti seperti racun yang diletakkan dalam makanan ataupun dalam air ataupun rakaman CCTV (kamera litar tertutup).

“Pada 14 Julai (2024), saya sendiri dan pasukan (DVS Pulau Pinang) telah turun ke lokasi kejadian, bagaimanapun tidak dapat sampel anjing-anjing tersebut untuk ‘post-mortem’ kerana anjing-anjing tersebut telah dibakar; maka tidak ada bukti jenis racun yang digunakan dan sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata mereka yang mempunyai informasi atau bukti termasuk rakaman berkaitan insiden tersebut, boleh menghubungi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi nombor telefon 04-263 7637/7000.

Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin dan beberapa Ahli Majlis kedua-dua PBT turut sertai sidang media tersebut pada tengah hari tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN