Tiada kompromi soal keselamatan tapak kerja binaan, bangunan – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap soal keselamatan di tapak kerja binaan dan bangunan yang tidak menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek Dua Residensi dekat Teluk Kumbar di sini baru-baru ini.

Katanya, soal keselamatan adalah mustahak dan perlu diberikan perhatian sepenuhnya bukan sahaja untuk menjamin keselesaan penghuni, tetapi juga memastikan rakyat Pulau Pinang mempunyai akses terhadap keselamatan bangunan.

“Sebab itulah, saya mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek pembinaan rumah dan akan terus memantau serta mengadakan lawatan mengejut bagi memastikan soal keselamatan dititikberatkan.

“Berhubung insiden kemalangan di tapak pembinaan di Tanjung Bunga, saya telah memutuskan bahawa lawatan mengejut yang akan diadakan selepas ini…pihak berkuasa tempatan perlu juga turut serta.

“(Dan) mereka (pihak berkuasa tempatan) perlu memberikan laporan berhubung aspek teknikal, keselamatan dan perkara berkaitan pembangunan sesuatu projek binaan semasa lawatan tersebut,” jelasnya lanjut.

Terdahulu pada 2 Oktober lalu, Jagdeep turut mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek pembinaan di Kampung Jawa, Butterworth.

Merangkumi 346 unit rumah mampu milik Jenis B (kos sederhana rendah), 174 unit Jenis C2 dan 174 unit Jenis C3 pada harga bermula RM72,500 hingga RM300,000, projek Dua Residensi kini telah 62 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2018.

Ketika diminta mengulas insiden kemalangan di tapak pembinaan di Tanjung Bunga, Jagdeep menyatakan, beliau kecewa dengan beberapa pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab dengan mendakwa projek tersebut dilaksanakan di cerun bukit sedangkan pembangunan projek berkenaan berada di tanah datar 40 meter (m).

“Garis panduan kita (Kerajaan Negeri) bagi pembangunan di lereng bukit adalah di bawah 76m dan kita (Kerajaan Negeri) melarang pembangunan melebihi paras 75m jika dibandingkan dengan (garis panduan) Kerajaan Persekutuan yang membenarkan pembangunan di lereng bukit sehingga 300m.

“Tambahan pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menolak beberapa permohonan (pembangunan) daripada agensi persekutuan yang dilihat tidak memahami garis panduan ketat yang dilaksanakan oleh kita (Kerajaan Negeri).

“Misalnya, projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang melebihi 160m…kita (Kerajaan Negeri) tidak akan meluluskan projek sedemikian walaupun ia di bawah program Persekutuan kerana soal keselamatan, kita tidak boleh berkompromi,” tegas beliau.