GEORGE TOWN – Tinjauan ke premis-premis gunting rambut di sekitar kawasan pulau sejak 10 Jun lalu mendapati pemilik premis mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika ditemui berkata, sehingga semalam (14 Jun 2020), hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke 709 premis gunting rambut di kawasan pulau mendapati kadar pematuhan 100 peratus.
“Bagi Seberang Perai pula, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaporkan kadar pematuhan sebanyak 90.72 peratus selepas melakukan pemeriksaan ke atas 58 premis sejak 10 Jun lalu.
“(Kadar pematuhan) tersebut masih bagus dan Kerajaan Negeri akan bersama-sama pihak berkuasa tempatan akan meneruskan pemantauan dan kita akan tegas (dalam memastikan pematuhan SOP).
“Sekiranya SOP tidak dilaksanakan atau dipatuhi, kita (Kerajaan Negeri) akan memberi amaran dan jika berterusan kita akan tutup premis tersebut, kita tidak akan berkompromi terhadap keselamatan awam dan keselamatan kesihatan,” tegasnya sejurus mengadakan pemantauan di salah sebuah premis gunting rambut dekat Lebuh Acheh pagi ini.
Turut sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, Ahli Majlis MBPP, Nicholas Theng Jie Wey dan Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Azman Sirun.
Mengulas mengenai pematuhan SOP, Jagdeep berkata, sebelum ini terdapat beberapa pasar raya yang telah diarahkan turut kerana ingkar SOP yang ditetapkan.
“(Penetapan SOP) ini bukan untuk kebaikan rakyat sahaja, tetapi untuk kebaikan para peniaga, pemilik premis termasuk para pemilik kedai gunting rambut.
“Jadi saya berharap agar semua pihak faham, Kerajaan Negeri amat prihatin, oleh sebab itu kita berada di sini untuk meninjau pematuhan SOP demi manfaat kita semua,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Ditanya mengenai kadar pematuhan di Seberang Perai, Jagdeep memaklumkan beberapa perkara perlu ditingkatkan bagi mencapai kadar 100 peratus.
“Antaranya, menggunakan pensanitasi tangan dan mengamalkan penjarakan sosial dengan meletakkan tanda di lantai,” katanya.
Sementara itu, Tung Seang ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa MBPP juga akan membenarkan sektor-sektor lain seperti membenarkan perniagaan gerai-gerai tepi jalan dengan berpandukan SOP yang ditetapkan.
Malah, difahamkan, pasar malam juga telah dibenarkan beroperasi dengan kawalan SOP yang ketat.
Dilaporkan, bagi pematuhan SOP keseluruhan premis yang dibenarkan beroperasi semula di kawasan pulau, daripada 163,285 premis sebanyak 162,730 premis mematuhi SOP iaitu hamir 99.66 peratus.
Manakala, bagi kawasan Seberang Perai pula, 268,485 daripada 270,573 premis bersamaan 99.23 peratus mematuhi SOP ditetapkan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD