Tiada lagi alasan untuk tidak pamer prestasi cemerlang – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Tiada perkara lain yang diharapkan terhadap pasukan bola sepak Pulau Pinang di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) selain membuktikan prestasi terbaik untuk naik ke Liga Super bagi tahun 2016.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika sebahagian barisan ahli-ahli pasukan, pihak pengurusan FAP dan barisan kejurulatihan yang akan bersaing pada Liga Perdana 2015 mengadakan kunjungan hormat ke Komtar di sini baru-baru ini.

“Anda semua hanya perlu tumpukan pada permainan di padang sahaja, tidak perlu risau soal gaji dan sebagainya, kerana anda sendiri boleh lihat komitmen FAP untuk kita (Pulau Pinang) naik semula ke Liga Super.

“Tidak ada apa lagi yang menghantui anda, oleh itu, tiada lagi alasan bagimu untuk tidak mempamerkan prestasi yang cemerlang,” ujarnya kepada para pemain dan pengurusan FAP pada sidang media khas baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyempurnakan penyampaian sumbangan RM4 juta (yang dinyatakan sebelum ini) kepada FAP bagi menghadapi saingan Liga Perdana 2015.

Pengurus Perhubungan Korporat PBAPP, Ir. K. Jeyabalan dan Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff hadir sama pada majlis berkenaan.

Turut diperkenalkan adalah pemain import yang bakal mewakili Pulau Pinang bagi musim 2015 iaitu Lee Gil Hoon dari Korea Selatan yang juga pemain bagi musim 2014; Hilton Mauro Moreira (Brazil) mewakili Pulau Pinang setengah musim bagi Liga Perdana 2014; Alberto Goncalves Da Costa dan Reinaldo Rodrigues De Oliveira Lobo, masing-masing dari Brazil dan bermain di Liga Indonesia sebelum ini.

Bagi jurulatih baru FAP dari Brazil, Jackson F. Tiago, persiapan kini merangkumi segala aspek latihan dalam mencari keserasian semua pemain.

“Persediaan giat dijalankan dari segi fizikal dan teknikal, semua pemain dilihat turut memberikan komitmen terbaik bagi menjelmakan prestasi terbaik dalam pasukan.

“Selaras itu, Pulau Pinang juga bakal mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menjelang penghujung Januari 2015,” jelas beliau.

Seramai 25 orang pemain didaftarkan bagi mengharungi saingan Liga Perdana 2015 termasuk tujuh muka lama yang telah berada dalam pasukan sebelum ini.

}