SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited melaksanakan Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang mulai 1 September 2025.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, komitmen tersebut adalah selari dengan usaha Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang melancarkan kempen berkaitan dasar itu pada 14 Februari lepas.
“Setiap perniagaan di dalam kategori pasar raya ‘hyper’, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi tidak dibenarkan untuk membekalkan lagi beg plastik secara percuma ataupun dengan bayaran RM1 kepada pelanggan mulai 1 September 2025.
“Sebagai alternatifnya, pelanggan diminta dan digalakkan untuk membawa beg sendiri atau memilih penggunaan beg mesra alam yang boleh digunakan semula,” jelasnya semasa berucap sempena Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-608 Bil. 2/2025 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 25 Februari 2025.
Mulai 1 September 2025 juga, beliau memberitahu bahawa MBSP melarangkan penggunaan penyedut minuman plastik di semua kompleks makanan dan pasar awam di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya bermula 1 Mac hingga 31 Ogos 2025 akan melaksanakan langkah penguatkuasaan berhemah dengan mengeluarkan notis serta nasihat kepada mereka penjaja yang masih membekalkan penyedut minuman plastik kepada pelanggan, disusuli langkah penguatkuasaan penuh bermula 1 September 2025.
“Bermula 1 September 2025, pihak MBSP akan
memulakan proses tindakan penguatkuasaan secara
penuh.
“Peniaga-peniaga yang gagal mematuhi kempen akan diambil tindakan penguatkuasaan pengeluaran Notis Tawaran Kompaun dengan kadar bayaran sebanyak RM500.00 dan pembatalan lesen perniagaan MBSP,” katanya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD DAUD