Tiada lagi beg plastik setiap Isnin mulai hari ini, kata Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Peniaga-peniaga di negeri ini diminta supaya tidak lagi memberikan beg plastik kepada pembeli pada setiap hari Isnin mulai hari ini (1 Julai).

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, inisiatif tersebut adalah tindakan lanjutan selepas dasar larangan penggunaan beg plastik diperkenalkan Kerajaan Negeri negeri sejak 2009.

Phee Boon Poh bersama-sama Rozali Mohamud menyempurnakan gimik pelancaran Kempen hari tanpa Beg Plastik Percuma dekat Pasaraya Billion.

Katanya lagi, pada masa ini inisiatif tersebut adalah berbentuk sukarela tanpa melibatkan sebarang peruntukan undang-undang.

“Peringkat permulaan adalah tempoh pendidikan yang mana rakyat diminta tampil menunjukkan sokongan terhadap inisitif Kerajaan Negeri dengan tidak menggunakan beg plastik demi menjaga alam sekitar.

“Sekiranya tidak berjaya dalam tempoh masa enam bulan, maka kita (Kerajaan Negeri) akan mengeluarkan syarat dan undang-undang untuk tindakan penguatkuasaan.

“Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa warga Pulau Pinang akan menyokong inisiatif ini kerana rasa cinta mereka terhadap alam sekitar,” katanya pada sidang media sempena Kempen Hari Tanpa Beg Plastik   Percuma dekat Pasaraya Billion, di sini semalam.

Pada sidang media sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa sebanyak 541 premis perniagaan telah berdaftar dengan MPSP bagi menyokong inisiatif tersebut.

“Justeru, mulai Isnin (hari ini) premis-premis ini digalakkan supaya tidak memberikan beg plastik kepada pembeli manakala pada hari-hari lain kutipan sebanyak RM0.20 perlu dibuat seperti biasa,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di negara ini yang melancarkan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” pada Julai 2009.

Teks & Gambar: SUNARTI YUSOFF