Tiada lagi kebakaran baru dikesan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung

Admin
whatsapp image 2024 07 22 at 14.36.47 (1)

PANTAI JEREJAK – Insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Nibong Tebal yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari semalam (Ahad) telah berjaya dikawal.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tiada lagi kebakaran baru dikesan di lokasi tersebut (Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung) selepas ia berjaya dikawal pada petang semalam.

“Exco Kerajaan Tempatan sudah mengeluarkan satu kenyataan berhubung insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Pulau Burung yang mula berlaku pada tengah hari semalam.

“Sehingga malam semalam, keadaan sudah terkawal tetapi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan lain-lain agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta pasukan bomba sukarela masih melakukan pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Eksport Pulau Pinang 2024 dekat sini sebentar tadi.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye dilaporkan berkata bahawa insiden tersebut dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca panas yang bereaksi dengan sampah di tapak pelupusan itu.

Susulan itu, beliau menyatakan bahawa petugas MBSP telah menjalankan kerja pemadaman awal tetapi keadaan yang berangin kencang menyebabkan kebakaran tidak dapat dikawal.

Tambah Mooi Lye, api kemudian berjaya dikawal sekitar jam 5.23 petang, dan tindakan lanjut yang akan dilaksanakan adalah membuat penutupan kawasan terbabit menggunakan tanah merah.

Ditanya mengenai rancangan untuk membangunkan sebuah Loji Rawatan Termal (Insinerator) di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung bagi mengelakkan insiden sama daripada berulang, Kon Yeow memberitahu bahawa perkara itu tertakluk kepada rundingan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang masih berjalan.

“Oleh kerana rundingan Akta 672 masih berjalan, maka rancangan kita (Kerajaan Negeri) perlu diselarikan dengan keputusan sama ada kita akan mengguna pakai akta ini atau tidak.

“Pada dasarnya, pembangunan loji pembakaran sampah ‘Waste-to-Energy’ (WTE) adalah sebahagian daripada perancangan masa depan Kerajaan Negeri, tetapi pelaksanaannya adalah masih tertakluk kepada Akta 672,” katanya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri masih lagi mengadakan perbincangan lanjut bersama-sama pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenai Akta 672.

“Kita harap dalam beberapa bulan lagi kita akan dapat putuskan sama ada Pulau Pinang akan menerima pakai akta ini atau tidak,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS