Tiada mana-mana kelompok rakyat terpinggir dalam arus pembangunan negeri – Kon Yeow

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (empat dari kiri) diiringi Ketua Menteri (enam dari kir) dan Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri) serta barisan pemimpin lain menyaksikan majlis penyampaian sumbangan dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama TYT Peringkat KADUN Datuk Keramat di perkarangan Masjid Hashim Yahaya, Jalan Perak di sini pada 20 April 2023.

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 senantiasa berusaha memastikan tidak ada mana-mana kelompok rakyat termasuk umat Islam dipinggirkan daripada arus pembangunan semasa Pulau Pinang.

KETUA Menteri

Semasa berucap, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan terus memastikan arus pembangunan negeri Pulau Pinang seringan dengan agenda Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim.

“Tidak ada pihak dipinggirkan di negeri Pulau Pinang dan semua hasil yang diperoleh (Kerajaan Negeri) dinikmati secara bersama-sama tanpa mengira latar belakang dan agama.

“Nilai keharmonian senantiasa menjadi pegangan bersama dalam membangunkan negeri (Pulau Pinang) ini ke peringkat lebih gemilang.

“Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Negeri seiringan dengan kepimpinan Perdana Menteri kita, ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani,” jelasnya dalam Majlis Berbuka Puasa dan Acara Penyampaian ‘Hamper Raya’ dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat di perkarangan Masjid Hashim Yahaya, Jalan Perak dekat sini pada 20 April 2023.

SUASANA majlis berbuka puasa bersama-sama TYT yang disertai pelbagai kaum di sini pada petang tadi.

Hadir menyerikan Majlis, Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan tuan rumah, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff dan Datin Seri Utama Gurmit Kaur (isteri kepada mendiang Dato’ Seri Utama Karpal Singh).

Tambah Kon Yeow yang jugaADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa dwi majlis yang dianjurkan adalah begitu istimewa kerana diadakan di masjid yang berusia kira-kira 160 tahun serta menjadi antara pusat pengembangan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat setempat sekian lama.

JAGDEEP Singh Deo

Berucap sebelum itu, Jagdeep selaku pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam menjayakan majlis berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan sekitar termasuk Jalan Perak dan Jalan P. Ramlee sejak tahun 2008.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT