DATUK KERAMAT – Program saringan massa secara percuma boleh dianjurkan di mana-mana lokaliti ‘hotspot’ berkaitan wabak COVID-19, sekiranya perlu, dengan nasihat serta cadangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sendiri.
Pun begitu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata tumpuan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang ketika ini adalah melengkapkan penganjuran program saringan massa dengan sasaran 1,000 populasi dewasa di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) terlebih dahulu.
“Tujuan program saringan massa ini adalah untuk menjejaki mereka yang bergejala, jika anda didapati positif, anda akan diasingkan (sekali gus) akan menyelamatkan anggota keluarga yang lain (daripada wabak COVID-19).
“Setakat ini, program saringan massa menerima pendaftaran hampir 8,000 orang yang mana hampir 6,000 individu (menerusi enam siri penganjuran program saringan massa pelbagai lokasi) telahpun membuat ujian calitan.
“Memang ujian calitan ini elok dilaksanakan secara berterusan dalam skala masa 21 hari sekali, tetapi tumpuan kita adalah 1,000 populasi (dewasa) di 40 KADUN terlebih dahulu.
“(Lagi pun) semua lokaliti penganjuran program saringan massa adalah atas cadangan JKNPP, maka, kalau satu-satu tempat itu dikenal pasti ‘hotspot’ setelah kita turun (menganjurkan program saringan massa), kita akan turun lagi dan tiada masalah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat selepas melawat tapak Program Saringan COVID-19 (PSC 19) di Stadium Bandaraya di sini pada 23 Julai 2021.
Turut serta, Pegawai Kesihatan bagi Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr. Chin Wee Loon; dan anggota-anggota dari Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mengulas mengenai rakaman tular insiden limpahan ahli jemaah solat sunat Aidiladha di luar perkarangan Surau Taman Pelangi dekat KADUN Bukit Tengah.
“Saya telah nyatakan secara terus terang (iaitu) minta JKNPP beri kita maklumat, kalau perlu turut (bagi mengadakan program saringan massa di sana), kita akan turun,” jelasnya lagi.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada populasi penduduk negeri termasuk buruh asing kerana menyambut baik program saringan massa secara percuma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak 5 Julai lepas.
Respons Jagdeep itu sekali gus menyambut baik cadangan Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy sebelum ini iaitu cadangan penganjuran program saringan massa secara berulang kali di lokaliti ‘hotspot’ serta kawasan yang mempunyai penduduk terlalu padat, seperti di Pangsapuri Teluk Indah.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR