Tiada penganjuran sambutan ambang Tahun Baru 2023 – Ketua Menteri

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan menganjurkan sebarang majlis untuk meraikan sambutan ambang Tahun Baru 2023 pada tahun ini, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan insentif bantuan Sekolah Agama Rakyat dekat sini pagi tadi.

“Sebenarnya, Kerajaan Negeri tidak pernah menganjurkan sambutan tahun baru secara rasmi.

“Sekiranya ada, itu mungkin yang dianjurkan oleh sektor swasta tetapi biasanya dalam skala kecil sahaja seperti diadakan di pasar raya dan sebagainya.

“Di pihak Kerajaan Negeri, memang kita sudah lama tidak anjurkan sambutan ambang tahun baru, namun kita juga tidak menghalang pihak swasta yang mahu menganjurkannya dan mungkin ada yang menjemput wakil kerajaan untuk hadir,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa sambutan ambang Tahun Baru yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Disember ini dibatalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa keputusan pembatalan tersebut adalah sebagai menghormati keadaan bencana banjir yang berlaku di Pantai Timur ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada negeri Kelantan dan Terengganu yang sedang dilanda bencana banjir besar.

“Kita ada bincang dalam mesyuarat Exco pada Rabu lalu, dan secara prinsipnya kita (Kerajaan Negeri) bersetuju untuk menyalurkan bantuan tetapi (jumlah) belum ditetapkan.

“Saya dan Pegawai Kewangan Negeri akan putuskan (jumlah) kemudian apabila ada keperluan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional di peringkat negeri Pulau Pinang, Kon Yeow memberitahu bahawa perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti Pakatan Harapan.

“Memang Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan melibatkan kerjasama pelbagai parti politik tetapi tidak ada arahan mengenai perkara ini, dan di peringkat negeri masih tidak ada perbincangan mengenainya,” ujarnya ringkas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD