GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak akan memberi perhatian ‘istimewa’ atau khas kepada mana-mana pihak pemaju sama ada daripada agensi swasta mahupun Kerajaan Persekutuan sekiranya sesebuah projek tidak mematuhi Garis Panduan Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Nada tegas tersebut disuarakan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo sebagai menjawab kenyataan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini.
Jagdeep berkata, perhatian ‘istimewa’ yang dimaksudkan oleh Zainal Abidin tidak wujud ekoran semua permohonan yang diterima oleh Kerajaan Negeri dilayan secara sama rata asalkan semua syarat-syarat dipatuhi.
“Sama ada agensi swasta ataupun agensi dari Persekutuan perlu mematuhi syarat-syarat di dalam garis panduan perumahan tersebut, barulah kita luluskan.
“Saya hanya beri respons (kelulusan) pantas sekiranya semua syarat-syarat ini dipatuhi,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Zainal Abidin sebelum itu menggesa Kerajaan Negeri supaya memberikan laluan ‘khas’ dengan menyegerakan permohonan membabitkan agensi-agensi Persekutuan.
Mengikut rekod, sejak 2013, terdapat 15 projek agensi Persekutuan iaitu masing-masing tujuh projek Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan JKP Sdn. Bhd. (8) tidak diluluskan Kerajaan Negeri akibat daripada tidak patuh kepada garis panduan yang ditetapkan.
Menurut Jagdeep, setelah perbincangan diadakan di antara agensi-agensi berkaitan, projek-projek tersebut telah diteliti semula agar mematuhi syarat-syarat yang dikenakan.
“Setelah PERDA dan JKP mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam garis panduan, maka empat daripada tujuh permohonan yang dikemukakan oleh PERDA telahpun selesai isu harga, ditangguhkan sementara menunggu laporan status tanah (2) dan ditarik balik oleh pihak tersebut (1).
“Manakala, lapan projek di bawah JKP masing-masingnya enam telahpun diselesaikan dan baki dua projek lagi masih tertangguh sementara menunggu penyelesaian setinggan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Justeru, bagi menjayakan pembangunan rumah mampu milik (RMM) di Pulau Pinang, Jagdeep mengalu-alukan sebarang permohonan oleh agensi-agensi Persekutuan berkaitan.
“Saya secara ikhlasnya akan membantu agensi-agensi Kerajaan Persekutuan mengatasi masalah ketidakpatuhan syarat-syarat tersebut.
“Malah, sekiranya ada rancangan seperti mana yang dinyatakan di dalam kenyataan Datuk Seri Zainal Abidin untuk membina lebih banyak unit perumahan mampu milik di negeri ini, maka sila kemukakan agar kita (Kerajaan Negeri) dapat pastikan terlebih dahulu pematuhan permohonan tersebut agar ia dapat diluluskan segera,” ujar beliau.