Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
BAYAN BARU – Sisa barangan elektronik kini bukan sahaja menjadi sisa pembuangan yang semakin meningkat di Malaysia malah turut dilihat kritikal apabila tiada satu sistem pelupusan yang optimum dilaksanakan oleh pihak berwajib, ulas Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Patrick Khoo Poh Aik pada Karnival Kitar Semula Komputer baru-baru ini.
Oleh demikian, katanya, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan menggalakkan usahasama semua pihak terutama syarikat-syarikat pengeluar barangan elektronik dan pengguna gajet semasa untuk sama-sama mengambil langkah mengitar semula barangan elektronik.
“Lambakan buangan elektronik ini sebenarnya boleh membawa implikasi yang besar terhadap manusia dan alam sekitar. Ia merupakan suatu cabaran kepada pengurusan sisa pepejal sama ada di peringkat tempatan mahupun global,” ujarnya.
Tambah beliau, penggunaan peralatan elektronik bertambah seiring dengan pertambahan penduduk dan perkembangan teknologi.
Namun begitu, pengurusan sisa buangan bahan elektronik ini perlu diperkasakan lagi demi menjamin keseimbangan alam sekitar rentetan peningkatan antara 20 juta ke 50 juta tan sisa elektronik global setahun.
Malah, statistik di Pulau Pinang sendiri menunjukkan peningkatan sisa buangan elektronik saban tahun.
“Jadi, saya bagi pihak Majlis (MPPP) ingin menyeru kerjasama semua agar satu sistem atau rangkaian sistem koordinasi dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2020.
“Pulau Pinang kini menjadi perintis di Malaysia dalam usaha melaksanakan rangkaian sistem pelupusan dan kitar semula yang optimum dan berkesan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang hadir merasmikan Karnival Kitar Semula Komputer berkata sejak sembilan tahun melaksanakan sistem kitar semula barangan elektronik di Pulau Pinang, sejumlah 145,000 kilogram sisa komputer atau elektronik berjaya dikumpulkan.
“Jumlah ini tidak termasuk kutipan pada karnival ini iaitu 2.2 tan metrik iaitu peningkatan lebih 600 kilogram berbanding tahun lalu menjadikan kadar kitar semula paling tinggi seluruh Malaysia iaitu 30 peratus.
“Syabas kepada semua pihak sama ada individu, swasta mahupun sektor awam kerana menggembleng tenaga untuk sama-sama menjayakan inisiatif hijau ini,” ucap Kon Yeow baru-baru ini.