GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tiada syarat khas ditetapkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berhubung pemberian peruntukan tahunan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Jelasnya, seperti ADUN-ADUN Pakatan Harapan lain, ADUN pembangkang perlu menyediakan dokumen sokongan dan sebut harga bagi setiap perbelanjaan peruntukan yang diberikan sebagaimana diamalkan dalam pentadbiran kerajaan.
“Kita (Kerajaan Negeri) sebenarnya telah menyediakan peruntukan tahunan kepada wakil rakyat pembangkang, namun, masa lampau, mereka (pembangkang) tidak mahu menerima peruntukan ini kerana menyangka ‘ada udang di sebalik batu’.
“Sedangkan peruntukan yang diberikan itu adalah usaha murni Kerajaan Negeri agar mereka (pembangkang) dapat menjalankan program atau melakukan kerja-kerja pembaikan kecil di kawasan masing-masing.
“(Dan) pada penggal inipun, kita (Kerajaan Negeri) juga menyediakan peruntukan sama dan berharap agar mereka (pembangkang) dapat menerimanya demi kebajikan para pengundi,” katanya ketika disoal wartawan RTM Pulau Pinang sejurus bicarawara eksklusif MUTIARAfm di sini pagi ini.
Apabila ditanya berhubung usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan wakil rakyat pembangkang, Kon Yeow menyatakan bahawa ADUN-ADUN pembangkang juga harus menilai corak operasi dan strategi untuk dekati rakyat.
“Mereka (pembangkang) perlulah memainkan peranan sebagai check and balance yang positif, dan saya percaya para pengundi dapat menilainya.
“Tetapi, sekiranya kita berputus asa, maka susah untuk rakyat menerima,” ujarnya yang juga pernah bergelar wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat pada penggal lalu.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan Pulau Pinang memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala tiga kerusi lagi dimenangi pembangkang iaitu dua kerusi Barisan Nasional (BN) dan PAS (1).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI