Tiada yang dipinggirkan – Ketua Menteri

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SALAH seorang waris warga emas tidak mampu menahan rasa sebak sebaik sahaja menerima sumbangan daripada Ketua Menteri (kiri sekali) sambil diperhatikan oleh ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin (dua dari kiri).
SALAH seorang waris warga emas tidak mampu menahan rasa sebak sebaik sahaja menerima sumbangan daripada Ketua Menteri (kiri sekali) sambil diperhatikan oleh ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin (dua dari kiri).

GEORGE TOWN – Seramai 127,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftar dalam Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) dan memperoleh RM100 seorang setiap tahun. Daripada jumlah tersebut, seramai 5,736 waris warga emas telah menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapan beliau, program-program kebajikan yang dizahirkan oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai membalas jasa dan sokongan warga Pulau Pinang terhadap Kerajaan Negeri.

“Saya yakin, selagi Kerajaan Negeri berpegang pada prinsip urustadbir CAT, perbelanjaan berhemah dan pengurusan kewangan yang cekap, lebih banyak program-program kebajikan demi memastikan rakyat dijaga sepenuhnya dapat dilaksanakan.

“Walaupun sumbangan ini tidak besar, sekurangkurangnya kita harap dapat melepaskan mereka pergi dengan bahagia (kerana dapat mengurus jenazah mereka dengan lancar),” ucap beliau pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Waris Warga Emas, Sumbangan Bantuan kepada Ibu Tunggal dan Penyerahan ‘Walkietalkie’ beserta ‘vest’ kepada Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di semua daerah di sini baru-baru ini.

“Ini merupakan kali pertama kita menganjurkan tiga acara serentak dalam satu majlis,” jelas Ketua Menteri.

Di Dewan Bailora Mastika, Balik Pulau, seramai 122 waris warga emas, ibu tunggal (33) dan tujuh unit PPS bagi daerah Barat Daya hadir memeriahkan majlis tersebut.

wargaemas2

Bagi daerah Timur Laut, majlis yang diadakan di Dewan Terbuka, Tapak Pesta Sungai Nibong menyaksikan sejumlah 288 waris warga emas, ibu tunggal (97) dan 26 unit PPS hadir menerima sumbangan masing-masing.

Di daerah Seberang Perai Utara, sejumlah 248 waris warga emas, ibu tunggal (126) dan 15 unit PPS hadir di Pusat Budi Penyayang, Jalan Bertam 2, Kepala Batas.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan teruskan program-program kebajikan rakyat yang sedia ada dan akan melaksanakan lebih banyak lagi inisiatif baharu agar tiada warga Pulau Pinang yang terpinggir,” ujar Ketua Menteri.

Di Seberang Perai Tengah (SPT), majlis penyampaian sumbangan diadakan di Yayasan Aman membabitkan sejumlah 210 waris warga emas, ibu tunggal (61) dan 12 unit PPS.

Seramai 111 waris warga emas, ibu tunggal (37) dan 11 unit PPS hadir menerima sumbangan untuk daerah
Seberang Perai Selatan (SPS).