MENGGUNAKAN slogan ‘tidak apa yang tidak boleh dijahit’, tukang jahit di Bazar Penang, ABDUL AZIZ MOHD. HUSSIN tidak asing lagi dalam kalangan warga George Town bahkah sudah bertaraf ‘legend’.
Beliau sudah bertapak bersama mesin jahitnya di celah kesibukan Bazar Penang atau dikenali warga tempatan sebagai ‘jual murah’ dilihat begitu strategik.
Manakan tidak, Bazar Penang rata-ratanya adalah terdiri daripada peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan kain ela, baju, seluar, beg dan barangan cenderahati.
“Saya sudah menjalankan kerja ini (menjahit) sejak 55 tahun lalu yang mana kemahiran ini diwarisi daripada ayah saya yang sebelum itu menjalankan kerja-kerja menjahit di sini.
“Asalnya saya kurang berminat menjahit tetapi selepas waktu sekolah, saya datang ke sini untuk membantu ayah saya sehinggalah saya menamatkan alam persekolahan dan mencari kerja baharu sebagai penghantar surat khabar.
“Pada masa itu, ayah memang marah kepada saya kerana dia tidak suka saya melakukan kerja tersebut, tetapi pada masa sama saya masih datang dan membantu dia menjahit di sini,” ujar Abdul Aziz ketika ditemui penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR di sini pada 3 Oktober 2023.
Tukang jahit, Abdul Aziz juga pernah berkhidmat sebagai konduktor dan pemandu bas di Penang Yellow Bus Corporation selama empat tahun sebelum menjadi pemandu lori di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama 32 tahun sambil melakukan kerja-kerja menjahit secara sambilan selepas waktu kerja.
Menurut Abdul Aziz, pada era 1970-an, kewujudan tukang jahit sepertinya memang banyak sehingga mencecah 12 orang, namun kini cuma tinggal dua hingga tiga orang sahaja termasuk anaknya, Mohd Redzuan Abdul Aziz yang menjalankan kerja tersebut secara sambilan.
Antara perkhidmatan jahitan yang dijalankan oleh Abdul Aziz adalah jahit tepi, ubah suai saiz pakaian, seluar jean, beg dan bermacam-macam lagi.
“Sebab itulah saya tulis di depan itu, tidak ada apa yang tidak boleh dijahit, tetapi seperti biasalah masyarakat kita ni suka bergurau.
“Ada yang ‘mai’ tanya, mulut orang boleh jahit tak? Manusia boleh jahit tak? Jadi, saya pun bergurau juga, asalkan jarum kalau boleh masuk apa pun saya boleh jahit termasuk manusia.
“Cuba tengok di hospital, doktor pun jahit manusia juga menggunakan jarum dan benang khas,” seloroh Abdul Aziz yang mempunyai karakter peramah dan ceria.
Selama 55 tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, pelbagai kerenah pelanggan yang ditemuinya dan beliau turut mengimbau beberapa peristiwa yang mencuit hati.
“Ada seorang perempuan ni, dia baru beli blaus untuk dipakai dalam majlis makan malam syarikat suaminya dan berhasrat untuk masuk pertandingan pakaian tercantik tetapi baju yang dibeli itu agak besar sikit daripada saiz badannya.
“Dia kata lebih sembilan tukang jahit dia sudah cari dan semuanya mengatakan tidak boleh buat dan saya merupakan orang yang ke-10 dia bertanya.
“Perempuan itu sangat marah sehingga dia menyatakan bahawa sekiranya saya tidak boleh buat juga (ubah suai) dia akan buang baju tersebut di hadapan saya.
“Saya kata ‘mai’ la tengok baju… dia beri dan lepas itu saya kata boleh buat dan dia berterima kasih, cuma dia tidak datang balik, kalau datang saya nak tanya menang atau kalah pakaian tercantik,” seloroh beliau lagi.
Bukan itu sahaja kata Abdul Aziz, ada juga pelanggan yang datang ke premisnya dan mempertikaikan kebolehan beliau menjahit.
“Dia datang ke sini tanya boleh jahit beg atau tak? Saya kata, boleh dan dia tanya banyak kali, sampai saya tanya balik dekat dia apa masalah puan? Sekarang beg puan yang bermasalah atau mesin saya bermasalah, dia tidak percaya sebab dia nampak mesin jahit saya adalah mesin jahit baju.
“Sedangkan mesin yang sama boleh digunakan untuk menjahit beg, cuma perlu tukar jarum, lalu dia pun beri beg tersebut dan saya menjalankan jahitan dengan kos RM30 sahaja,” maklum Abdul Aziz yang berasal dari Jalan Kedah.
Tidak terkecuali adalah peristiwa kebakaran melibatkan bazar tersebut pada tahun 1980-an dan 1990-an yang mana kedua-dua kejadian tersebut turut melibatkan premisnya.
Walau bagaimanapun, Abdul Aziz menzahirkan rasa syukur kerana dalam kejadian tersebut tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun keederaan berlaku memandangkan kebakaran terjadi pada waktu malam.
Menjawab mengenai pelanggan, Abdul Aziz berkata bahawa beliau masih mampu mendapat 10 hingga 20 orang pelanggan setiap hari.
”Adakalanya saya akan beri kepada anak saya kerana saya cuma ambil tempahan mengikut keperluan sahaja… lebih kepada santai-santai.
“Saya tidak mahu terlalu stres… tetapi daripada duduk sahaja di rumah lebih baik saya penuhi masa lapang dengan menjahit di sini sambil berjumpa kawan-kawan dan sebagainya,” maklum Abdul Aziz.
Ditanya mengenai perancangan, beliau memberitahu bahawa perniagaannya akan terus kekal di situ selagi kudratnya masih mampu untuk terus menjalankan kerja-kerja menjahit.
“Legasi itu terpulang kepada anak saya sama ada mahu suruh anaknya teruskan atau tidak, lagi pun anak dia masih kecil, biar mereka yang tentukan masa depan mereka sendiri,” katanya menutup bicara.
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan ketika ditemui memberitahu bahawa ayahnya sentiasa mengutamakan kejujuran ketika berurusan dengan pelanggan.
“Jujur dan amanah, itulah pesanan yang selalu ayah berikan kepada saya, kalau sudah berjanji dengan pelanggan esok, maka esoklah kena siapkan.
“Kalau ada hal kecemasan kena maklumkan awal kepada pelanggan bahawa baju mereka tidak dapat disiapkan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.