BAYAN LEPAS – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan berusaha meraih sebanyak mungkin kerusi Parlimen di negeri ini sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Chow Kon Yeow.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai keputusan terbaru iaitu tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor di bawah pentadbiran PH dalam masa terdekat.
“Sekarang, kita (Pakatan Harapan Pulau Pinang) menerima keputusan dan memfokuskan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Di negeri Pulau Pinang masih ada pilihan raya umum (PRU) yang mana 13 kerusi Parlimen akan dipertandingkan, (justeru) diharapkan kita (Pakatan Harapan) akan dapat fokus kepada sumber dan gerak kerja bagi memastikan PH dapat menang sebanyak mungkin (kerusi Parlimen) di negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang dalam sidang media di Pusat Jagaan Suria dekat sini pada 15 Oktober 2022.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa DAP Pulau Pinang sebelum ini berjaya meyakinkan Majlis Tertinggi Pusat (CEC) parti tersebut supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diadakan serentak dengan pilihan raya umum (PRU) dan pendirian parti telah dikemukakan kepada Majlis Presiden PH kelmarin.
Bagaimanapun, beliau berharap sekalian rakyat dan para penyokong PH di negeri ini dapat menerima keputusan terbaru yang diputuskan Majlis Presiden PH, iaitu tiada pembubaran DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Majlis Presiden PH dilaporkan mengumumkan bahawa DUN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan.
“Negeri-negeri Pakatan akan menumpukan perhatian kepada isu-isu yang mendesak, terutamanya banjir,” kata Majlis itu dalam sidang media di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dekat Petaling Jaya, Selangor tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD