Tidak sampai 10% daripada projek baru diberi kebenaran merancang – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan corak pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang merupakan punca pembangunan tidak terkawal sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat di sini baru-baru ini.

Kon Yeow memberitahu, beliau tidak menafikan terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya banjir dan antaranya, ada yang dapat dikawal manusia serta di luar kawalan manusia.

“Pembangunan berlebihan seperti didakwa sesetengah pihak bukanlah punca utama berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sini memandangkan sejak 2008 sehingga Oktober 2014, hanya 111 daripada 1,323 projek baru yang diberi kebenaran merancang bagi mendapatkan permit serta memulakan kerja.

“Jumlah tersebut tidak sampai 10 peratus daripada projek baru yang diberi kebenaran merancang. Sebaliknya dari tahun 2000 hingga 2007, iaitu ketika di bawah BN (Barisan Nasional), 441 projek daripada 1,272 p r o jek diber i kebenar an merancang.

“Bagaimana pula Pulau Pinang boleh ada lebih banyak pembangunan di bawah PR yang baru enam  tahun mentadbir berbanding BN yang telah berpuluh tahun?

“Sedangkan statistik tersebut dikeluarkan Jabatan Perancangan Pembangunan MPPP,” soalnya.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye.

Tambah Kon Yeow, selain  kawalan pembangunan baru, Kerajaan Negeri juga kini giat melaksanakan projek-projek tebatan banjir dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi utama di samping Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Masalah banjir  kilat memang tidak dapat diatasi sepenuhnya, tetapi Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana berusaha menjalankan projek-projek mitigasi banjir terutama di 10 lokasi hotspot yang dikenalpasti sebagai kawasan berpotensi banjir.” katanya merujuk kepada kejadian banjir kilat baru-baru ini yang
disebabkan oleh faktor tiupan angin bermusim bersama-sama sifat topografi lokal dalam menentukan corak taburan hujan di Pulau Pinang.

Jelas beliau, antara tahun 2000 hingga 2008, sejumlah RM24.92 juta dibelanjakan untuk projek tebatan banjir, manakala antara 2008 hingga kini, RM27.90 juta.

“Jumlah tersebut melibatkan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang (Fasa 1 dan Fasa 2), projek-projek menaiktaraf parit serta bahu jalan dan projek mendalamkan parit-parit sedia ada,” ujar beliau.