DATUK KERAMAT – Tiga adik-beradik warga emas kini mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan rumah baharu di bawah Program Bina Baru Rumah Rakyat Termiskin 2024.
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol berkata bahawa program tersebut merupakan usahasama Pejabat Daerah Timur Laut dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).
“Hari ini kita telah menjadi saksi detik bersejarah di kawasan Datuk Keramat melalui penyerahan kunci rumah baharu yang lebih selesa dan selamat kepada penerima.
“Penerima mempunyai syarat yang cukup berserta kebenaran daripada tuan tanah iaitu MAINPP, maka proses kelulusan juga dipermudahkan dengan perhatian dan sokongan Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
“Warga emas seperti mereka tidak sesuai menetap di kediaman yang tidak selamat dan uzur, ditambah pula penerima sudah tidak lagi berkemampuan untuk bekerja atas faktor usia dan kesihatan.
“Justeru, saya bagi pihak Kerajaan Negeri berharap agar mereka dapat hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat dengan bantuan rumah baharu ini,” katanya semasa sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada penerima dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Penghulu di kawasan Datok Keramat, Mohd. Hizer Omar; wakil-wakil jabatan serta barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Sementara itu, Siew Khim berkata bahawa pihaknya sebelum ini telah menerima maklumat mengenai keadaan tiga beradik itu yang terpaksa tinggal di sebuah rumah kampung yang kian usang.
“Semasa jelajah kebajikan ke lima daerah di negeri ini pada tahun lepas, saya sendiri telah berjumpa dengan penerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) di Kampung Makam dan telah melihat keadaan rumah yang tidak selesa dan usang.
“Jadi, saya berbincang dengan YB Dato’ Rashidi serta penghulu untuk meneliti usaha apa yang boleh dilakukan bersama-sama pihak berkaitan untuk merealisasikan program ini,” katanya.
Mohd. Hizer pula berkata, keselamatan tiga adik-beradik warga emas berkenaan menjadi keutamaannya dalam menyediakan kediaman yang lebih selesa.
“Penerima melepasi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melibatkan kos pelaksanaan sebanyak RM75,000 dan tempoh pembinaan pula memakan masa selama dua bulan.
“Bukan itu sahaja, saya juga akan susuli dengan bantuan kelengkapan rumah dari pejabat Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada penerima,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, penerima bantuan, Saburah Mohamed Sultan, 76, kini tinggal bersama dua adiknya, Faridabi (69 tahun) dan Pauziah (64 tahun).
“Sebelum ini kami menetap di sebuah rumah kampung dengan kadar bayaran sewa RM200 sebulan sejak dari kecil lagi.
“Tidak dinafikan rumah berusia 80 tahun itu kian uzur dan tidak lagi mampu menampung kami sekeluarga, saya juga sudah lewat usia dan tidak mampu menyara keluarga… hanya bergantung kepada bantuan yang ada.
“Hari ini, syukur alhamdulillah atas bantuan rumah baharu dapat juga saya dan keluarga berpuasa dan menyambut Syawal dalam keadaan yang selesa,” ujarnya sambil menarik nafas lega apabila rumah yang diduduki kini dilengkapi kemudahan yang cukup.
Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL