Tiga cadangan dasar tambah baik kerjasama Negeri dan Pusat

Admin

GEOEGE TOWN – Penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Perhubungan Persekutuan-Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merupakan antara tiga cadangan dasar bagi menambah baik kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dua lagi cadangan adalah membabitkan penubuhan Suruhanjaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta Jawatakuasa Kerjasama Semua Negeri yang memerlukan komitmen daripada kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan tersebut dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Hubungan Negeri-Persekutuan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menambah baik hubungan antara Kerajaan Negeri dan kerajaan Pusat.

“Dengan ketidaktentuan politik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan cabaran pandemik COVID-19 yang menjejaskan semua aspek kehidupan rakyat telah memperlihatkan betapa pentingnya keperluan penurunan kuasa serta penstrukturan semula kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri ketika mengadakan sidang media berkaitan laporan interim yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Hubungan Negeri-Persekutuan yang tubuhkan oleh Kerajaan Negeri.

“Berdasarkan faktor tersebut, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas menubuhkan sebuah jawatankuasa khas diketuai ahli akademik, Dr. Francis Loh Kok Wah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Dato’ Dr. Ooi Kee Beng.

“Jawatankuasa khas ini adalah untuk mengenal pasti ‘permasalahan’ spesifik dalam hubungan Persekutuan dan negeri yang dihadapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk seruan pengagihan sumber yang lebih adil,” katanya ketika membentangkan laporan interima Jawatankuasa Khas Hubungan Negeri-Persekutuan pada sidang media dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, penurunan kuasa Persekutuan dalam pelbagai aspek adalah salah satu matlamat utama Kerajaan Negeri Pakatan Haapan Pulau Pinang ketika ini.

“Selaras dengan aspirasi tinggi dan sebagai persediaan dalam menghadapi krisis serta cabaran ekonomi masa depan, Kerajaan Negeri telah menugaskan pelaksanaan kajian ini bagi mengenal pasti desentralisasi boleh dicapai dengan cepat, berjaya serta sistematik.

“Jadi, saya akan membawa cadangan-cadangan ini ke peringkat Kerajaan Negeri untuk diteliti dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya,” ulasnya lanjut.

Pada masa sama, Kon Yeow mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang menuntut peruntukan pembangunan sebanyak RM5.2 bilion setahun berdasarkan sumbangan Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negara Keluaran (KDNK) kira-kira 6.7 dan 6.9 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Perlu diingatkan bahawa Pulau Pinang hanya menerima RM996 juta atau 1.3 peratus daripada keseluruhan RM75.6 bilion peruntukan untuk pembangunan,” tegasnya.

Sementara itu, Hsiao-Leung berkata bahawa laporan interim yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Hubungan Negeri-Persekutuan merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Isu pengagihan kuasa dan peruntukan yang tidak adil adalah satu perkara yang memberi kesan kepada semua negeri termasuk negeri Pulau Pinang.

“Justeru, inisiatif untuk mendapat kerjasama semua negeri di negara ini untuk mewujudkan kerjasama dan isu-isu yang berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan adalah sesuatu yang amat baik,” ulasnya.

Difahamkan, penubuhan Jawatankuasa Khas Hubungan Negeri-Persekutuan adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan janji untuk mendisentralisasikan kuasa-kuasa kepada Kerajaan Negeri dalam bidang pengangkutan awam, kebajikan sosial, alam sekitar dan peruntukan yang lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD