Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui sebuah syarikat konsultan baru-baru ini menyiapkan satu Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang menyeluruh meliputi tiga fasa utama berhubung pelaksanaannya di sini.
Tiga fasa berkenaan adalah meliputi pelaksanaan tempoh jangka pendek bermula pada tahun 2013 hingga 2015, jangka sederhana (2015 – 2020) dan jangka panjang (2020 – 2030).
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pertambahan pesat kenderaan di Pulau Pinang memerlukan satu sistem pengangkutan jalan raya dan pengurusan lalulintas yang efisien dan menyeluruh.
“Semua sistem ini perlu berintegrasi dengan pelan struktur negeri dan tempatan agar perancangan pembangunan di sesuatu kawasan mengambil kira keperluan serta kepentingan sistem jalan raya dan lalulintas yang secara tidak langsung bakal memimpin pertumbuhan kawasan terbabit.
“Berhubung pengimplementasian tersebut, Kerajaan Negeri turut memandang serius isu pengangkutan awam dan kadar penggunaannya oleh rakyat Pulau Pinang.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Negeri dengan jumlah perbelanjaan RM3.2 juta,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Negeri di Komtar baru-baru ini di sini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco-exco Kerajaan Negeri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud.
Dalam masa sama Kon Yeow berkata, dalam perancangan pelan induk tersebut, sistem pengangkutan awam negeri akan dinaiktaraf dan diluaskan kebolehsampaiannya.
“Ini adalah bagi memudahkan rakyat mendapatkan khidmat pengangkutan awam termasuk penambahbaikan perkhidmatan bas dan feri.
“Serentak itu, menjelang tahun 2030, kemudahan pejalan kaki serta keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) turut akan dipertingkatkan,” ujar Kon Yeow.
Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, proses pelaksanaan pelan induk tersebut akan ditumpukan agar semua kesulitan rakyat Pulau Pinang terutama pada aspek pengangkutan dan pengurusan lalulintas dapat diselesaikan secara berintegriti serta berhemah.
“Pelan induk ini merangkumi Pelan Tindakan Lebuhraya, Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Awam, Pelan Tindakan Kebolehcapaian, Pelan Tindakan Institusi dan Kajian Pengangkutan Air,” jelas beliau.