AIR PUTIH – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berharap sumbangan tiga gazebo bernilai RM39,300 kepada Masjid Bukit Bendera mampu memberi nilai tambah kepada rumah ibadat yang digazetkan sebagai masjid pelancongan itu.
Tambahnya, gazebo tersebut juga sebagai salah satu langkah mempertingkatkan kemudahan di masjid tersebut untuk kegunaan masyarakat setempat dan pelancong asing.
“Pembinaan gazebo ini adalah untuk menangani masalah keterbatasan ruang dan kesulitan yang dihadapi oleh pengunjung, terutama kaum wanita.
“Gazebo baharu ini menyediakan ruang yang lebih selesa untuk berehat, menyusukan anak, dan menjalankan pelbagai urusan lain dalam suasana yang tenang.
“Kemudahan ini turut akan membantu mempromosikan masjid sebagai pusat pelancongan yang mempromosi budaya Islam dan warisan tempatan,” ujar Syerleena ketika melawat tiga gazebo yang disiapkan Ogos lalu di sini pagi tadi.
Dalam kesempatan sama, Syerleena memaklumkan Masjid Bukit Bendera turut menerima sumbangan kerusi, meja dan peralatan lain bernilai RM6,275 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng.
Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Korporat Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC), Shahril Nizam Cheah Abdullah dan pihak pengurusan Masjid Bukit Bendera.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT