BUKIT TAMBUN – Tiga pemenang daripada 922 peserta pertandingan mencipta slogan kreatif bagi program Sukan Untuk Semua atau Sports For All telah dimuktamadkan.
Tiga slogan yang terpilih adalah “Practice Like You Have Never Won, Perform Like You’ve Never Lose” oleh Noor Linda Baba Noor, “Healthy Citizens Are Happy Citizens” oleh Asyrafi Naharuddin dan “Sport Society Endless Possibility” oleh Norhairuddin Noraidin.
Ketiga-tiga pemenang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 yang disampaikan oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dalam satu majlis ringkas di sini, semalam.
Dalam ucapan ringkas sebelum itu, Lip Chee berkata bahawa Kerajaan Negeri komited untuk mempromosikan Sukan Untuk Semua bagi menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam acara-acara sukan berkaitan.
Sebagai contoh katanya, program tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman bertanding dalam acara berskala besar seperti acara triathlon mini anjuran Kerajaan Negeri dan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.
“Ini merupakan pengalaman yang jarang dirasai kerana bukan semua orang pernah mengalami pengalaman mengikuti acara sukan di stadium besar seperti lompat jauh, lumba lari dan sebagainya.
“Dan melalui program ini juga orang ramai akan mendapat pemahaman yang lebih mendalam mengenai amalan gaya hidup sihat melalui bersukan dan pada masa yang sama dapat memanfaatkan kemudahan sukan yang ada di negeri ini,” ujarnya.
Turut hadir pada program tersebut adalah Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Mohamed Akbar Mustapha serta Presiden Persatuan G Club Penang Cyclist, Dato’ Dr. Lim Sei Guan.
Selain tiga pemenang terpilih, seramai 10 peserta bertuah juga turut menerima hadiah daripada piha penganjur iaitu Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD