Tiga premis kotor dekat DTL diarah tutup 

GEORGE TOWN – Sebanyak tiga premis di sekitar Daerah Timur Laut (DTL) diarahkan tutup dalam satu operasi bersepadu antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Tiga premis berkenaan masing-masingnya dua di Komtar dan Persiaran Karpal Singh.

Menurut Inspektor Kesihatan Kanan Bahagian Pelesenan MBPP, Goh Eng Chun premis makanan tersebut didapati beroperasi dalam keadaan kotor (menjumpai najis tikus) serta mendapat skor rendah di bawah 70.

“Hari ini MBPP bersama KKM lakukan dua operasi pada sebelah siang di Komtar dan malam di sini (Persiaran Karpal Singh).

“Di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, KKM telah mengarahkan agar tiga premis ini ditutup selama 14 hari dan minimum tiga hari… dalam masa tiga hari sekiranya pemilik premis mendapati premis mereka sudah bersih, pemilik boleh panggil KKM untuk periksa dan dipertimbangkan untuk dibuka semula,” ujar beliau kepada pemberita sejurus tamat operasi di Persiaran Karpal Singh semalam.

Hadir sama, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan) Pejabat Kesihatan DTL, S. Pathmanathan serta anggota Penguatkuasa MBPP dan KKM.

Selain dari penutupan premis oleh KKM, tambah Eng Chun, MBPP turut mengeluarkan tiga kompaun di Komtar dan Persiaran Karpal Singh (12).

ANTARA najis tikus yang dijumpai.

Maklumnya, di Komtar kesemua kompaun yang dikenakan adalah bernilai RM250 manakala di Persiaran Karpal Singh (RM1,770).

“Antara kesalahan yang ditemui ketika operasi bersepadu tersebut termasuklah tidak memperbaharui lesen perniagaan, tidak mendapatkan suntikan typhoid, meletakkan makanan di tempat tidak sepatutnya, kegagalan menyediakan perangkap minyak serta kotor,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha premis makanan agar tidak mengabaikan aspek kebersihan premis.

“MBPP bersama KKM akan teruskan lagi operasi secara rambang ini setiap minggu dalam memastikan kedai makan di kawasan pulau ini bersih dan selamat untuk dinikmati oleh orang ramai,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD